Jika anda seorang audiophile, ataupun seseorang yang mengambil serius mengenai kelengkapan audio yang digunakan untuk tujuan persendirian ataupun profesional, anda pastinya mengenali jenama audio daripada Jerman, iaitu Sennheiser.
Mereka terkenal untuk kelengkapan audio premium mereka yang terdiri daripada fon kepala, fon telinga, mikrofon dan sebagainya. Sebagai sebuah jenama audio pengguna, mereka cukup terkenal di seluruh dunia, dan malah, di Kuala Lumpur, mereka mempunyai dua kedai tersendiri di Bangsar dan juga Kuala Lumpur.
Akan tetapi, bahagian audio pengguna (consumer audio division) Sennheiser nampaknya akan diambil-alih oleh sebuah lagi syarikat yang bernama Sonova. Bagi mereka yang tidak mengenali syarikat ini, mereka merupakan sebuah konglomerat dari Switzerland yang mempunyai sejumlah jenama alat bantuan pendengaran dibawahnya, dan memiliki 24 peratus pasaran global untuk alat-alat ini.
Menurut Sonova, pengambil-alihan Sennheiser oleh mereka adalah untuk mengembangkan lagi capaian mereka di dalam arena kelengkapan audio pengguna, dan oleh kerana Sennheiser ialah salah satu daripada jenama audio yang terkemuka, pengambil-alihan ini boleh dikatakan sebuah keputusan yang agak jelas.
Sennheiser juga sebelum ini mengatakan bahawa mereka akan memberi fokus penuh pada industri audio profesional mereka, dan penjualan bahagian pengguna ini juga dilihat sebagai sesuatu yang telah dibincangkan dengan mendalam oleh kedua-dua pihak.
Dengan pengambil-alihan ini, yang dianggarkan bernilai 200 juta Euro (~RM1 bilion), para pekerja bahagian pengguna Sennheiser akan diserapkan ke syarikat Sonova menjelang penghujung tahun ini jika tiada sebarang halangan terhadap pengambil-alihan tersebut.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Sonova, nama Sennheiser masih akan kekal digunakan untuk produk-produk jenama tersebut walaupun selepas pengambil-alihan ini lengkap.