Challenger 2 ialah sebahagian kecil kereta kebal utama (MBT) yang telah diuji di medan perang modem. Kemampuannya dibuktikan di Iraq dan sejak memulakan operasi pada tahun 1993, hanya satu Challenger 2 berjaya dimusnahkan musuh di medan perang. Minggu ini, Kementerian Pertahanan UK menganugerahkan Rheinmetall BAE Systems Land (RBSL) kontrak £800 juta (~RM 4.6 bilion) untuk menaiktaraf 148 Challenger 2 ke standard Challenger 3.
Penaiktarafan adalah dalam bentuk meriam Rheinmetall L55A1 120mm gerek licin (smootbore) bagi menggantikan meriam Rheinmetall L55 120mm beralur. Laras meriam gerek licin, dapat bertahan lebih lama sebelum perlu diganti (400 vs 1200 tembakan). Selain itu L55A1 juga boleh menggunakan pelbagai peluru moden APFSDS yang lebih panjang dan HE DM11 yang boleh diprogramkan untuk menyerang infantri dan kenderaan tidak berperisai.
Turut digital terkini membolehkan komander kereta kebal melihat medan perang dengan lebih jelas dengan kemampuan mengesan sasaran dengan lebih pantas. Sistem perhubungan digital terkini membolehkan kereta kebal berhubung dengan infantri, markas dan cabang tentera yang lain dengan lebih efektif.
Penambahbaikan pada perisai hadapan dan penggunaan perisai modular juga diperkenalkan. Tidak diketahui apakah sistem yang akan digunakan tetapi besar kemungkinan dari jenis ERA. Challenger 3 juga akan menjadi kereta kebal pertama UK dengan sistem pertahanan aktif untuk menangkis serangan APFSDS dan RPG berkembar yang menjadi musuh kereta kebal moden di Iraq, Afghanistan dan Syria.
Sistem gantungan dan enjin juga akan dinaiktaraf selepas mengambil kira kekurangan yang ditemui pada Challlenger 2. Hanya 148 Challenger 2 akan dinaiktaraf ke versi Challenger 3 dengan ia memulakan operasi pada tahun 2027 dan kekal dalam inventori sehingga 2040. Ini adalah jumlah yang kecil berbanding 408 Challenger 2 yang diterima Tentera Darat UK sejak 1993.
Ramai berpendapat MBT tidak lagi sesuai digunakan di medan perang moden dimana pertempuran dilakukan di kawasan bandar. Askar marin Amerika Syarikat mengumumkan mereka tidak lagi akan menggunakan kereta kebal dalam operasi mereka. Penaiktarafan yang dilakukan kepada Challenger 2, M1A2, Leopard 2 dan LeClerc dilihat sekadar reaksi kepada Rusia yang memperkenalkan T-14 Armata.