Cari @ Amanz

Kebanyakan telefon pintar yang baru dilancarkan sekarang akan memfokuskan kepada sokongan 5G. Ini adalah kerana syarikat-syarikat pengeluar peranti ingin mengikuti arus pemodenan dan dalam masa yang sama ingin menawarkan teknologi terkini bagi memenuhi kehendak dan keperluan pengguna mereka. Jika sebelum ini realme telah melancarkan realme 8 Pro untuk pasaran Malaysia, kini mereka telah membawa masuk pula versi yang lebih mampu milik dengan sokongan 5G, yang dikenali sebagai realme 8 5G.

Rekaan Yang Selesa Di Tangan Dan Lebih Mengasyikkan Untuk Ditonton

Rekaan telefon pintar ini adalah senipis 8.5mm yang hanya mempunyai berat seringan 185g. Ini menjadikannya selesa untuk dipegang dan dibawa kemana-mana. Malah jika diselit ke dalam poket juga tidak terasa janggal. Skrinnya pula bersaiz 6.5 inci dengan sokongan kadar segar semula setinggi 90Hz yang mampu untuk memberi pengalaman tatalan skrin yang lebih memuaskan. Kalau digunakan untuk menonton video pula, tentunya ia memberi kepuasan kepada anda kerana ia menyokong resolusi 2400X1080 FHD+ dengan kecerahan maksimum sehingga 600 nit.

Dikuasakan Oleh Cip Pemprosesan MediaTek Dimensity 700 5G

Cukup ringkas dari segi rekaan, kita bercakap mengenai spesifikasinya pula. Apa yang menyebabkan telefon pintar ini menyokong rangkaian 5G adalah kerana cip pemprosesannya daripada MediaTek Dimensity 700 5G. Cip pemprosesan ini juga merupakan faktor utama mengapa telefon pintar ini mampu beroperasi lebih baik. Melalui cip pemprosesan daripada binaan 7nm ini, ia menjadikan penggunaan kuasa untuk realme 8 5G dapat beroperasi 28% lebih baik jika dibandingkan dengan cip daripada 8nm.

Malah menurut MediaTek sendiri, cip ini merupakan cip 5G pertama yang mereka keluarkan untuk telefon yang memfokuskan kegunaan harian. Binaan cip ini telah menggabungkan dua teras Arm Cortex A76 yang dikatakan mampu untuk beroperasi 4 kali lebih laju daripada telefon pintar biasa dengan eMMC. Melaluinya pelbagai fungsi boleh digunakan dengan lebih efisyen dan baterinya dapat bertahan lebih lama. Jadi sekiranya anda ingin menonton video, merakam gambar dan membuat tugasan sepanjang hari juga tidak menjadi masalah. Memandangkan telefon pintar ini menyokong paparan dengan kadar segar semula 90Hz, ia juga tidak menjadi masalah untuk anda bermain permua tanpa sebarang masalah lengah masa pada skrin kerana cip MediaTek Dimensity 700 5G ini mampu untuk memberikan kepuasan bermain permua yang lebih mengasyikkan.

Telefon pintar ini dilengkapi dengan memori 8GB RAM bersama storan dalaman 128GB. Untuk pengetahuan anda juga, memorinya boleh dikembangkan dengan bantuan daripada teknologi Dynamic RAM Expansion (DRE). Teknologi ini dikatakan akan menggunakan storan (ROM) sebagai RAM sehingga 5GB tambahan apabila ia diperlukan bagi memastikan anda mendapatkan pengalaman penggunaan yang lebih memuaskan. Ciri ini sekaligus membolehkan anda untuk menikmati 13GB RAM secara keseluruhannya. Jadi selain daripada bantuan cip MediaTek Dimensity 700 5G, ciri DRE pada realme 8 5G ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti harian anda agar menjadi lebih baik.

Hasil Rakaman Lebih Menyerlah Dengan Sokongan AI

Kameranya juga boleh dikatakan agak baik untuk sebuah telefon pintar daripada kelas pertengahan. Kamera realme 8 5G ini menggabungkan sensor 48MP untuk rakaman utama, 2MP untuk rakaman makro dan 2MP untuk sudut kedalaman. Manakala kamera swafotonya pula adalah 16MP. Bagi sensor 48MP, ia menyokong rakaman Ultra HD yang mampu untuk menghasilkan rakaman Nightscape yang jelas dan terang walaupun ia dirakam pada waktu malam. Sensor ini juga menyokong untuk merakamkan gambar hitam dan putih serta rakaman makro dari jarak sedekat 4cm. Cip pemprosesan Dimensity 700 5G pada realme 8 5G ini juga membantu kamera swafotonya melalui teknologi AI untuk menghasilkan rakaman yang lebih cantik dengan ciri yang dapat membezakan jantina, jenis kulit dan banyak lagi.

Ketahanan Bateri Lebih Lama Dengan Bantuan Smart 5G Power Saving

Memandangkan telefon pintar ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5000mAh dan dibantu pula dengan keupayaan cip Dimensity 700 5G, tentunya anda boleh kekal menggunakan realme 8 5G ini sepanjang hari. Malah, jika hendak membuat pengecasan pula, anda tidak perlu risau kerana realme menyertakan pengecasan pantas 18W. Menurut realme, bagi setiap pengecasan penuh, ia mampu bertahan sehingga 655 jam untuk mod sedia, 42 jam untuk membuat panggilan, 16 jam untuk tayangan video dan 114 jam sekiranya digunakan untuk mendengar lagu. Oleh itu anda tidak perlu risau untuk menggunakan realme 8 5G ini sepanjang hari samaada untuk kegunaan harian, bermain permua atau juga menonton video dalam masa yang lama.

Bukan sekadar itu, telefon pintar ini juga menyokong fungsi Smart 5G Power Saving. Kita umum mengetahui bahawa rangkaian 5G dikatakan akan menggunakan bateri yang banyak. Jadi melalui fungsi ini, ia dapat memanjangkan lagi tempoh masa penggunaan realme 8 5G dengan menukarkan antara 4G dan 5G secara automatik. Menurut realme, penggunaan bateri dapat dijimatkan 30% lebih baik jika dibandingkan dengan telefon yang tidak mempunyai fungsi seperti ini. Selain itu juga, realme mempunyai pelbagai ciri yang membantu anda untuk memanjangkan lagi jangka hayat bateri telefon pintar ini. Antaranya adalah Sleep Standby Optimization, App Quick Freeze dan Screen Battery Optimization.


Kesimpulan

Jadi, sekiranya anda sedang mencari sebuah telefon untuk kegunaan harian seperti menonton video, bermain permua yang ringan, mendengar lagu dan sebagainya, realme 8 5G ini adalah antara telefon yang anda perlu letakkan dalam senarai pilihan. Cip pemprosesan Dimensity 700 5G pada telefon pintar ini ternyata sangat membantu dari segi prestasinya. Bateri tahan lama, paparan skrin 90Hz lebih lancar, kameranya juga dibantu oleh teknologi AI. Ini menjadikan realme 8 5G mempunyai pakej lengkap untuk sebuah peranti kegunaan harian. Bagi yang berminat, ia ditawarkan pada harga RM899 untuk pasaran Malaysia dengan memori 8GB RAM bersama storan dalaman 128GB. Namun ada berita baik untuk anda. realme menawarkan harga promosi untuk penjualan pertamanya esok 28 May 2021 melalui kedai atas talian rasmi realme di Lazada pada harga RM799. Anda juga boleh dapatkannya melalui laman rasmi realme atau pengedar-pengedar rasmi mereka di seluruh Malaysia sementara stok masih ada.

Penafian: Advertorial daripada realme Malaysia

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd