Jualan Cakera Keras Global Menurun, Tetapi Jumlah Kapasiti Yang Dijual Meningkat

Diterbitkan pada Mei 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika ada satu trend jualan teknologi yang dilihat mencatatkan penurunan, ia mungkin adalah industri storan, dimana jualan cakera keras global pada tahun 2020 memperlihatkan penurunan. Ini boleh dikatakan kerana untuk pasaran pengguna, mereka rata-rata telah berubah kepada menggunakan storan SSD lebih daripada cakera keras.

Menurut laporan IDC, rata-rata 60 peratus daripada komputer pengguna, tidak kira desktop ataupun komputer riba global rata-rata menggunakan storan SSD sebagai storan pilihan mereka, berbanding daripada menggunakan cakera keras.

Sebuah lagi laporan mengenai storan daripada CA mencatatkan bahawa oleh kerana konsol-konsol permainan kini menggunakan storan SSD, pemasaran cakera keras untuk tujuan tersebut telah menurun sebanyak 31 peratus pada suku pertama 2021.

Ia diperlihatkan bahawa untuk sepanjang dua ke tiga tahun lepas, pengilangan cakera keras bersaiz 2.5 inci dengan purata storan sebesar 720GB biasanya dibeli oleh Sony dan Microsoft untuk membangunkan konsol-konsol generasi sebelum ini, dan oleh kerana ia akan dihentikan tidak lama lagi, jualan untuk storan-storan seperti ini dijangka akan menurun dengan lebih lanjut.

Walaupun begitu, cakera keras untuk tujuan perindustrian dengan nilai storan yang besar telah memperlihatkan peningkatan dari segi jualan, dan ini adalah kerana dengan penularan sistem kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, perkhidmatan mesin pelayan dan sebagainya, storan berkapasiti tinggi diperlukan untuk menyimpan data-data yang diperlukan.

Amazon dan Microsoft, yang melarikan Amazon Web Services dan Microsoft Azure boleh dikatakan dua daripada syarikat pembeli storan terbesar, khususnya kerana mereka melarikan dua daripada perkhidmatan platform web yang paling terkemuka di dunia.

Untuk industri ini, sejumlah laporan daripada beberapa syarikat seperti Trendfocus dan sebagainya mencatatkan bahawa dalam konteks nilai storan, sebanyak 303 exabyte storan telah dijual pada suku pertama 2021 sahaja yang memperlihatkan peningkatan 30 exabyte daripada suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Samada trend penjualan ini akan berubah dengan kehadiran kriptowang Chia yang menggunakan storan digital untuk melombong matawang digital tersebut, kita hanya akan ketahuinya bermula suku kedua ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami