Perbadanan Putrajaya Dan VectoLabs Bekerjasama Untuk Membangunkan Infrastruktur IoT Di Putrajaya

Diterbitkan pada Mei 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Putrajaya dan Cyberjaya rata-ratanya boleh dikatakan dua lokasi dimana kebanyakan infrastruktur teknologi di Malaysia diuji untuk memastikan keseluruhan negara dapat memanfaatkan sistem-sistem pintar di masa akan datang.

Baru-baru ini, Perbadanan Putrajaya, bersama-sama dengan VectoLabs Technologies Sdn Bhd telah mengumumkan sebuah kerjasama dimana syarikat tersebut akan membangunkan sejumlah sistem peranti berhubung (Internet of Things) yang akan dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Masjid Putrajaya

Projek pertama yang akan dikendalikan oleh VectoLabs Technologies ini ialah sistem lampu jalan pintar yang akan diimplementasi di kawasan Presint 15, Putrajaya. Ia akan dipasang selari dengan rangka Putrajaya Smart City Blueprint yang mana ia akan membolehkan pihak kerajaan tempatan untuk bukan sahaja mengawal sistem lampu jalanan secara nirwayar, tetapi juga mempercepatkan proses pembaikpulihan lampu-lampu yang mentolnya telah mati dengan cepat dan mudah.

Menurut VectoLabs Technologies, sistem ini memudahkan pengurusan semua jenis aset lampu jalanan, seperti lampu LED pintar, LED biasa, mahupun lampu High Density Sodium yang digunakan secara meluas.

Sistem lampu jalan pintar ini dibangunkan menggunakan sistem LoRA yang memanfaatkan teknologi Low-Powered Wide Area Network yang membolehkan pihak kerajaan tempatan untuk mengawal sistem-sistem pintar yang disambungkan kepada sebuah rangkaian dalam jarak 2-5KM secara nirwayar.

Dibiayai oleh National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), projek pintar perintis ini telahpun mula dibangunkan oleh VectoLabs Technologies sejak bulan Februari 2021, dimana dua bulan setakat ini telah digunakan untuk memetakan rangkaian LoRA tersebut. Menurut VectoLabs, projek lampu pintar ini dijangka siap dan akan dipindahkan kawalannya kepada pihak kerajaan tempatan menjelang bulan Ogos 2021 kelak.

Putrajaya

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif VectoLabs Technologies, Faizal Ali, kekangan utama dalam membina sebuah bandar pintar yang memanfaatkan IoT ialah ketiadaan infrastruktur rangkaian dan sistem yang memudahkan kesalinghubungan diantara satu sistem dan sistem-sistem yang lain.

Secara teorinya, sebuah kerajaan tempatan yang mengurus sebuah bandar pintar hanya memerlukan satu infrastruktur rangkaian untuk menjaga pelbagai sistem pintar yang diimplementasi. Ini bukan sahaja memudahkan kerja pihak berkuasa tempatan, tetapi juga memastikan bahawa kos pengendalian sistem-sistem ini boleh dikekalkan pada tahap serendah yang mungkin.

Dengan pengenalan sistem rangkaian LoRA ini, ia dijangka bahawa sebarang proses pembangunan sistem pintar atau IoT baharu akan lebih mudah untuk diimplementasi selepas ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami