Carian
Ulasan Wiko Power U20 – Nikmat Skrin Dan Bateri Besar Untuk Yang Berbajet Kecil
May 11, 2021 Amy Maizuraa

Wiko – meskipun ia bukan jenama yang menjadi pilihan utama kebanyakan pengguna pada hari ini. Namun, ia bukan alasan untuk jenama yang berasal dari Perancis ini untuk tidak memberikan penawaran terbaik. Malah, mereka tetap sedia hadir dengan pelbagai produk sebagai pilihan buat para pengguna. Paling terkini, Wiko telah mengemaskini rangkaian peranti pintar mereka untuk pasaran Malaysia dengan memperkenalkan Wiko Power U20.

Peranti pintar ini menarik kerana ia mempunyai paparan skrin dan kapasiti bateri yang cukup besar sekali. Boleh dikatakan, seakan sudah menjadi ‘trend’ kebanyakan pengeluar hari ini untuk cenderung memilih peranti pintar yang mempunyai spesifikasi sebegini. Bukan itu sahaja, peranti pintar ini juga menyajikan penawaran yang baik pada harganya dan spesifikasi yang cukup bersesuaian untuk kegunaan harian. Dengan tanda harga RM429, sejauh manakah Wiko Power U20 mampu membuatkan orang ramai untuk mendekatinya? Mari ketahui lebih lanjut berkaitan Wiko Power U20 dalam artikel ulasan ini.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Wiko Power U20
Skrin6.82″ IPS LCD, HD+ (720 x 1640), (~270 ppi)
PemprosesMediaTek Helio G35
Cip2 x 2.0 GHz Cortex-A75
6 x 1.8 GHz Cortex-A55
Cip GrafikIMG PowerVR GE8320
RAM3GB
Muatan Dalaman32GB (Mikro SD sehingga 256GB)
Kamera Utama13MP + 2MP + QVGA
Kamera Swafoto5MP
Bateri6,000mAh
Pengecasan berwayar 10W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MicroSD
NFCTiada
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanFungsi Imbasan Wajah
Harga JualanRM429

Rekaan

Sudah menjadi kebiasaan, setiap kali artikel ulasan akan dimulakan dengan rekaan fizikal terlebih dahulu. Wiko Power U20 membawakan binaan belakang berasaskan plastik atau nama saintifiknya polikarbonat. Meskipun begitu, ianya masih kelihatan cukup baik dalam kemasan yang berkilauan. Panel belakangnya juga dilihat memberikan sedikit pantulan cahaya yang menarik untuk dilihat. Cumanya, tidak ada sebarang perubahan dari segi penampilan warna yang terhasil melaluinya.

Untuk makluman, unit ulasan yang diterima adalah Wiko Power U20 dalam warna Slate Grey. Untuk pilihan lain, terdapat juga Wiko Power U20 dalam rona warna ceria iaitu Navy Blue yang mampu menambahkan sentuhan eksklusif buat rekaan kasual. Jika anda mahukan kelainan, Wiko Power U20 dalam warna Mint dirasakan lebih bersesuaian kerana penampilannya tampak lebih menonjol dengan tulisan “Let’s Power-Up” yang cukup besar. Setiap satu daripada kemasan warna yang disediakan adalah bersesuaian sahaja untuk digayakan oleh wanita atau lelaki. Bahkan, ia juga mudah sahaja disuai padan dengan pelbagai jenis pakaian. Di samping, ia juga mampu jmenepati cita rasa si pemakai yang mahukan penampilan nampak santai.

Tidak dinafikan, Wiko Power U20 mempunyai elemen penting dari segi keselesaan. Mengapa? Ini disebabkan oleh binaan tubuhnya yang baik dan kukuh – sekaligus membuatkannya selesa sahaja untuk dipegang. Di samping itu, rekaan yang ergonomik dan tidak terlalu berat atau tebal – turut membantu dalam menambah lagi keselesaan dan pengalaman genggaman yang lebih baik. Secara keseluruhannya, ia adalah sebuah peranti pintar yang baik, kemas dan memiliki kualiti binaan yang memuaskan. Cumanya, panel belakangnya terasa sedikit licin dan begitu mudah memerangkap kotoran cap jari. Bagaimanapun, pemasalahan ini boleh diatasi dengan kerangka silikon percuma yang disediakan di dalam kotak pembelian.

Seterusnya, ia menempatkan butang kuasa dan butang laras suara pada sisi kanan. Lebih menariknya di sini, ia turut disertakan sokongan butang khusus untuk menyeru Google Assistant – yang boleh dianggap sebagai ‘bonus’. Sebabnya, ia akan lebih memudahkan pengguna untuk mengakses pembantu maya tanpa perlu menekan butang ‘home’ dengan lama. Kemudian, Wiko Power U20 juga menawarkan sokongan slot dwi-SIM pada bahagian sisi kiri peranti pintar – dengan kebolehan meletakkan kad microSD pada ruang berasingan.

Tidak ketinggalan, peranti pintar ini turut menawarkan sokongan bicu audio 3.5mm yang diletakkan pada bahagian atas. Kelebihan ini menunjukkan Wiko masih memberi ruang yang fleksibel kepada ramai pihak yang masih belum bersedia untuk bertukar kepada penggunaan fon telinga nirwayar. Tapi sayang, ia nampak sedikit ketinggalan zaman apabila masih lagi menggunakan port sambungan jenis mikro-USB. Sambungan penting berkenaan diletakkan di bahagian bawah peranti bersama-sama dengan sokongan pembesar suara mono. Sedikit komen mengenai pembesar suaran ini, audio mono yang dihasilkan agak lantang – yang mana masih boleh didengari secara kuat di dalam bilik. Namun begitu, kualitinya hanya di tahap memadai sahaja.

Seperkara lagi, Wiko Power U20 tidak didatangkan dengan sokongan pengimbas cap jari. Tetapi, ia masih mempunyai sokongan alternatif lain seperti fungsi imbasan wajah untuk tujuan pelindungan sekuriti. Dari segi prestasi, ia mampu menyahkunci peranti pintar dengan agak pantas pada pencahayaan yang cukup. Jika sebaliknya, ia mengambil sedikit masa untuk berfungsi. Untuk alternatif lebih mudah, boleh sahaja menggunakan beberapa kaedah nyahkunci biasa lain seperti paten, PIN dan kata laluan.


Paparan

Wiko Power U20 dilengkapi paparan dengan rekaan takuk kecil. Melaluinya, ia membawakan saiz skrin berukuran 6.82-inci yang dirasakan cukup besar untuk kepuasan tontonan pelbagai jenis kandungan media – tidak kira sama ada teks, gambar mahupun video. Sebagai salah seorang pengguna Samsung Galaxy Note 10+, saya langsung tidak menghadapi sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan peranti pintar yang dilengkapi saiz besar sebegini.

Panel yang digunakan pula adalah sejenis IPS LCD yang dipadankan dengan resolusi HD+ (720 x 1640 piksel) dengan kepadatan piksel 270 ppi. Seperkara lagi, Wiko juga menggunakan bezel yang cukup tebal untuk kesemua sisi pada panel hadapan ini – terutamanya pada bahagian dagu. Hal ini secara tidak langsung akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan segelintir pengguna yang menitikberatkan soal kemasan seimbang.

Dari segi kualiti, paparan skrin berada di tahap yang baik-baik sahaja ketika diuji. Pengalaman penggunaan yang memuaskan masih boleh dinikmati apabila peranti pintar ini digunakan di kawasan yang tertutup (indoor). Melaluinya, kualiti paparan kelihatan terang dan selesa sahaja untuk dilihat. Tetapi tidak dinafikan, anda akan dapati paparan skrin ini mudah menampakkan piksel.

Walau bagaimanapun, ia boleh dianggap normal untuk sebuah peranti kelas permulaan yang ditawarkan pada julat harga sebegini. Saya juga mendapati, kualiti paparan ini sedikit terjejas apabila digunakan di kawasan terbuka (outdoor) – misalnya di bawah sinaran matahari terang. Paparan secara langsung menjadi sedikit malap dan sukar untuk dilihat. Hal berkenaan juga mengaki kandungan pada skrin sedikit sukar untuk dibaca, meskipun tetapan kecerahan berada di tahap maksima.


Prestasi

Wiko Power U20 dijana dengan sistem operasi Android terkini melalui Android 11. Sama seperti generasi sebelumnya, ia turut menampilkan kemasan antaramuka yang menyerupai Android asli dan keseluruhannya nampak cukup kemas. Menyentuh mengenai sokongan cip pemprosesnya pula, ia menggunakan cip MediaTek Helio G35 yang dipadankan dengan memori 3GB RAM dan storan dalaman 32GB.

Dengan sokongan memori yang rendah sebegini, sudah semestinya peranti pintar ini tidak mampu untuk mengendali banyak aplikasi secara serentak. Dengan itu, beberapa aplikasi perlu dimatikan terlebih dahulu untuk prestasi peranti yang konsisten. Bukan itu sahaja, saya turut menyedari masalah lengah masa agak ketara dan perkara ini sangat memberi kesan kepada proses peralihan daripada satu aplikasi ke aplikasi yang lain. Ia turut mengakibatkan setiap aplikasi mengambil sedikit masa yang lama untuk dipaparkan pada muka skrin. Kemudian, proses tatalan yang dilakukan juga jelas kurang lancar sehingga ada masanya menimbulkan rasa yang kurang memuaskan.

Meskipun begitu, keadaan ini tidaklah sehingga mengakibatkan masalah gangguan yang teruk pada peranti. Sebaliknya, Wiko Power U20 masih mampu melakukan fungsi asas sebuah peranti pintar dengan baik. Ia juga sesuai sahaja dijadikan sebagai peranti pintar untuk bermedia sosial, melayari web atau kegunaan paling ringan. Pengalaman bermain permua yang berat juga sekadar baik sahaja dan perlu ditetapkan pada tahap tetapan yang rendah untuk mendapatkan kadar bingkai konsisten. Berhubung perkara ini, perlu diingatkan bahawa Wiko Power U20 hanyalah peranti kelas permulaan. Makanya, jangan terlalu berharap lebih untuk prestasi yang tinggi dan apa ditawarkan olehnya masih boleh diterima berdasarkan penawaran harga yang diberikan.


Kamera

Bercakap mengenai kemampuan kamera pula, sebanyak tiga sensor berbeza dengan pelbagai kegunaan disertakan bersama-sama dengannya. Ianya terdiri dengan tetapan 13-Megapixel untuk sensor utama, 2-Megapixel untuk sensor kedalaman dan lensa AI. Seterusnya, ia juga membawakan sokongan kamera hadapan tunggal sebesar 5-Megapixel.

Melaluinya, kualiti gambar yang diambil adalah baik untuk kebanyakan situasi harian. Penghasilan gambar kelihatan jelas dengan keperincian imej yang masih dapat dikekalkan. Kemudian, penghasilan warna seperti yang anda boleh lihat masih juga baik dan mampu menghasilkan gambar yang memuaskan. Mungkin ia bukanlah sebuah peranti yang terbaik, tetapi mengambil gambar untuk perkongsian di laman sosial – kualiti gambar yang diambil menggunakan peranti ini adalah memadai.

Untuk keupaayan kamera hadapannya, ia juga mampu memberi hasil yang baik untuk kebanyakan situasi. Warnanya cukup terang, cuma kepericiannya kadang kala boleh menjadi soft sekiranya ia tidak mempunyai pencahayaan yang mencukupi. Tidak ketinggalan, ia turut menyokong fungsi beautify mode yang boleh dilaraskan dengan sokongan untuk penggunaan kamera hadapan dan juga belakang.

Dari segi rakaman video, Wiko Power U20 menawarkan rakaman tertinggi sehingga 1080P/30fps. Ianya dilihat memadai untuk kegunaan harian. Tapi sayangnya, tiada sebarang mod penstabilan khusus yang disertakan bersama-sama dengannya. Bukan itu sahaja, penghasilan audio daripada rakaman videonya turut tidak memuaskan.


Bateri

Bateri 6,000mAh katanya mampu bertahan sehingga 4 hari. Namun begitu, hasil ujian kami mendapati paling maksimum peranti ini boleh mampu bertahan adalah mencecah dua hari. Ia adalah penggunaan biasa seperti melayari laman web, menatal media sosial, sedikit aplikasi permua dan lain-lain. Baik pada ketahanan, tidak bermakna baik juga untuk proses pengecasan semula.

Malah, penggunaan port jenis mikro-USB berbanding USB-C padanya, turut membuatkan peranti pintar ini agak ketinggalan zaman. Sedangkan, kita sendiri boleh lihat sudah banyak peranti dalam kelas setanding yang menggunakan port USB-C. Tetapi, Wiko masih di takuk lama. Seandainya Wiko menggunakan port jenis USB-C mungkin peranti ini akan lebih baik. Masa pengecasan semula juga tidak begitu baik dan masa yang diambil juga lama – iaitu lebih daripada dua jam untuk pengecasan penuh.


Perbandingan Pesaing Peranti

Wiko Power U20Realme C21Nokia G20
6.82” IPS LCD, HD+ (720 x 1640), (~270 ppi)6.5″ IPS LCD, HD+ (720 x 1560), (~270 ppi)6.52″ IPS LCD, HD+ (720 x 1560), (~269 ppi)
MediaTek Helio G35 (12 nm)
4 x 2.3 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
MediaTek Helio G35 (12 nm)
4 x 2.3 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
MediaTek Helio G35 (12 nm)
4 x 2.3 GHz Cortex-A53
4 x 1.8 GHz Cortex-A53
IMG PowerVR GE8320IMG PowerVR GE8320IMG PowerVR GE8320
3GB RAM3GB RAM4GB RAM
32GB32GB64/128GB
Kamera Utama
13MP + 2MP + QVGA
Kamera Utama
13MP + 2MP + 2MP
Kamera Utama
48MP + 5MP + 2MP + 2MP
Kamera Hadapan
5MP
Kamera Hadapan
5MP
Kamera Hadapan
8MP
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalir air
Bicu AudioBicu audioBicu audio
Mono SpeakerMono SpeakerMono Speaker
6000mAh (Berwayar 10W)5000mAh (Berwayar 10W)5050mAh (Berwayar 10W)
Harga RM429Harga RM499Harga bermula €160 (~RM788) 

Kesimpulan

Dengan harga RM429, Wiko Power U20 merupakan salah sebuah peranti mampu milik. Ia sememangnya tidak sesuai untuk mereka yang mahukan peranti berkuasa. Tetapi, golongan sasaran Wiko Power U20 ialah mereka yang tidak mampu membeli peranti kelas tinggi tetapi masih mahukan sebuah peranti pintar. Bukan itu sahaja, ia juga direka khusus buat mereka yang amat menitik beratkan soal ketahanan bateri.

Justeru, seandainya anda bercadang untuk menjadikannya sebagai peranti untuk bersosial ataupun peranti dengan hayat bateri yang panjang. Penawaran pada Wiko Power U20 adalah memandai. Ia kuga masih mampu melakukan fungsi paling asas sebuah peranti pintar dengan bagus. Bagaimanapun, pilihan di tangan masing-masing. Jadilah pengguna yang bijak.


Pro

  • Penawaran harga rendah bawah RM500.
  • Rekaan dengan pilihan kemasan warna menarik.
  • Sokongan slot dwi-sim & mikroSD secara berasingan.
  • Kemampuan kamera yang baik.
  • Bateri tahan lama.

Kontra

  • Paparan sekadar HD+.
  • Kemampuan rendah.
  • Pembesar suara mono.
  • Port sambungan jenis micro-USB.
Komen