Carian
Tech Armory Melancarkan Glock 5 Ace Gen 3 – Komputer Riba Gaming Dengan Ciri Menukar CPU Pada Harga RM5999
May 11, 2021 Nazrin

Apabila bercakap mengenai komputer riba gaming, kebiasaannya ia akan hadir dalam sebuah rangka berbentuk segi empat tepat yang dimuatkan dengan komponen-komponen yang dibangunkan khusus untuk rekaan tersebut.

Akan tetapi terdapat beberapa jenama yang cuba untuk memuatkan komponen-komponen desktop didalamnya, biasanya mengorbankan saiz yang nipis dan ringan untuk sesuatu yang masih tidak memakan ruang sebanyak sebuah desktop, tetapi masih terlalu besar untuk dibawa kemana-mana.

Tech Armory ialah sebuah syarikat yang dikenali untuk penawaran komputer riba dan juga kelengkapan-kelangkapan komputer yang lain seperti paparan skrin dan sebagainya, dimana mereka juga hadir dengan komputer riba mereka sendiri dibawah nama COMMANDOS.

Baru-baru ini, mereka telah melancarkan model komputer riba gaming COMMANDOS Glock 5 Ace Gen 3 yang dikuasakan oleh CPU Intel generasi ke-11 Rocket Lake dan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 dan RTX 3070. Pilihan CPU yang ditawarkan termasuklah Intel Core i5-11400 dan juga Intel Core i7-11700, dimana kedua-dua daripadanya merupakan CPU kelas desktop.

Spesifikasi dalaman lain termasuklah pilihan memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan SSD NVMe sebesar 512GB yang boleh dinaiktarafkan dan ditambah jika diingini.

Dari segi pilihan kad grafik pula, komputer riba Glock 5 Ace Gen 3 ini dimuatkan dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 ataupun NVIDIA GeForce RTX 3070. Ini dipadankan dengan paparan skrin bersaiz 16.1 inci dengan resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 144Hz.

Keunikan komputer riba ini hadir melalui kemampuan pengguna untuk menukar CPU didalamnya. Oleh kerana komputer riba ini menggunakan cip pemprosesan kelas desktop, Tech Armory telah membuatkannya supaya pengguna boleh memilih untuk menaiktarafkan komponen tersebut oleh pengguna sendiri jika diingini.

Komputer riba Glock 5 Ace Gen 3 ini sudahpun ditawarkan melalui laman web Tech Armory pada tanda harga berikut:

  • Glock 5 Ace Gen 3 (Intel Core i5, RTX 3060) – RM5999
  • Glock 5 Ace Gen 3 (Intel Core i5, RTX 3070) – RM6999
  • Glock 5 Ace Gen 3 (Intel Core i7, RTX 3060) – RM6449
  • Glock 5 Ace Gen 3 (Intel Core i7, RTX 3070) – RM7849
Komen