(Ura-Ura) Apple Mungkin Akan Hadir Dengan Konsol Hibrid Seakan Nintendo Switch

Diterbitkan pada Mei 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada tahun 2013, Apple pernah dilaporkan yang mereka mungkin akan hadir dengan alat kawalan permainan tersendiri. Kemudian hanya pada tahun 2019, ada ura-ura menyatakan Apple akan menceburi bidang permainan video dengan sebuah Mac yang berkuasa. Semua itu tidak benar, kerana apa yang menjadi realiti adalah Apple Arcade sahaja. Sejenis perkhidmatan langganan yang memfokuskan permua dengan ekosistem Apple.

Tetapi, ini tidak bermakna Apple hanya akan menawarkan produk digital sahaja. Hujung tahun lepas, Apple dikhabarkan akan hadir dengan Apple TV baharu – yang mana ia adalah Apple TV 4K dengan cip A12 Bionic. Kotak set Apple TV ini menjalankan tvOS terkini dengan sokongan tambatan alat kawalan PlayStation 5, DualSense. Terkini melalui laman Clien, Apple dikhabarkan akan hadir dengan konsol hibrid dengan dermaga seakan Nintendo Switch.

Konsol ini dikatakan akan dijana dengan cip baharu yang bukan berasaskan cip pemprosesan siri A atau siri M mereka. Sebaliknya GPU telah dioptimasikan dan dinaiktaraf untuk sokongan Ray Tracing. Apple juga dikatakan sedang dalam proses berbincang dengan Ubisoft untuk permainan video eksklusif dilancarkan bersama-sama dengan konsol ini.

Jika benar Apple akan hadir dengan produk ini dan memandang Nintendo sebagai pesaing, bermakna Apple akan lebih fokus kepada pembangunan Apple Arcade. Apple Arcade sedia menyokong alat kawalan PS5 dan Xbox terkini. Jadi tidak terkejut jika peranti ini akan menawarkan permainan Apple Arcade dengan grafik yang jauh lebih hebat.

Sebelum ini, Apple juga dilaporkan telah mempatenkan teknologi penstriman permainan menggunaka rangkaian 5G. Jadi jika konsol memfokuskan pada Apple Arcade, ia mungkin akan ada penambahan sokongan penstriman permainan yang boleh bersaing dengan Google Stadia atau Amazon Luno.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami