Cari @ Amanz

Setelah pelbagai ura-ura hadir mengenai sebuah lagi siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000, NVIDIA akhirnya telah mengesahkan kehadiran siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX terbaru mereka, iaitu GeForce RTX 3050 dan juga RTX 3050Ti yang dibangunkan khas untuk siri komputer riba produktiviti dan juga gaming.

Ini merupakan kali pertama sebuah siri kad grafik dibawah siri XX50 daripada NVIDIA menerima nama model RTX, dan ini adalah kerana sama seperti kad-kad grafik NVIDIA GeForce yang lebih berkuasa, ia kini hadir dengan sokongan untuk fungsi Ray-tracing dan juga pelbagai ciri-ciri tambahan NVIDIA seperti NVIDIA Reflex, RTX Voice, NVIDIA Broadcast, Resizeable BAR dan sebagainya.

Sama seperti kad-kad grafik lain dalam siri RTX 3000 ini, ia menggunakan cip pemprosesan grafik Ampere yang cukup berkuasa sekali. Dari segi spesifikasi GPU, NVIDIA GeForce RTX 3050Ti dilengkapi dengan 80 teras Tensor, 20 teras RT, dan kelajuan boost clock sehingga1695MHz. Kad grafik GeForce RTX 3050 pula mempunyai 64 teras Tensor, 16 teras RT dan kelajuan boost clock sehingga 1740MHz.

Dari segi memori, kedua-dua kad grafik ini menggunakan memori GDDR6 sebanyak 4GB dan menyokong sambungan penghantaran data PCIe 4.0 yang bakal diperlihatkan melalui komputer-komputer riba yang dikuasakan CPU Intel Tiger Lake-H kelak.

Menurut NVIDIA lagi, untuk masa ini, penawaran siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 dan RTX 3050Ti ini hanya hadir melalui model-model komputer riba sahaja.

NVIDIA mengatakan mereka telah bekerjasama dengan sejumlah pembuat komputer riba seperti Acer, ASUS, Dell, MSI dan sebagainya untuk menawarkan komputer riba dengan komponen-komponen grafik terbaru ini yang akan diperkenalkan tidak lama lagi didalam pelbagai jenis penawaran rekaan, tidak kira untuk tujuan gaming, ataupun siri komputer riba nipis dan ringan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd