Cari @ Amanz

Pada awal tahun ini, Intel telah memperkenalkan siri CPU generasi ke-11 mereka, Intel Tiger Lake-U yang memfokuskan kepada penguasaan komputer riba nipis dan ringan untuk tujuan produktiviti. Malah, Intel turut mengemaskini penjenamaan komputer riba tersebut sebagai Intel Evo, untuk siri komputer riba produktiviti nipis yang dikuasakan CPU ini.

Terkini, Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan komputer Tiger Lake-H pula, untuk komputer-komputer riba yang memerlukan kemampuan pemprosesan yang lebih berkuasa berbanding daripada apa yang ditawarkan oleh model CPU Tiger Lake-U.

Siri CPU Intel Tiger Lake-H ini dibangunkan menggunakan proses mikroarkitektur Willow Cove 10nm yang bukan sahaja menjanjikan kelajuan terpantas dalam sebuah komputer riba, tetapi juga membolehkannya dimuatkan dengans sejumlah ciri-ciri baru yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini.

Pertama ialah untuk kesemua model-model CPU Intel Tiger Lake-H ini, mereka semuanya akan hadir dengan ciri Hyperthreading. Daripada model Intel Core i9-11980HK yang mempunyai lapan teras dan 16 bebenang kuasa, sehinggalah Intel Core i5-11500H dengan enam teras dan 12 bebenang kuasa, cip-cip pemprosesan Tiger Lake-H semuanya dibangunkan untuk membolehkan pengguna menggerakkan apa sahaja perisian tanpa masalah.

Lebih menarik lagi, terdapat diantara cip-cip pemprosesan ini, khususnya Intel Core i9-11980HK yang hadir dengan kelajuan lewahjam setinggi 5GHz, dan boleh dilewahjam.

Ia juga hadir dengan sejumlah 44 lorong PCIe, dimana 20 daripadanya ialah PCIe 4.0 yang mampu memanfaatkan prestasi kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 sepenuhnya, bersama-sama dengan storan SSD NVMe PCIe 4.0 yang sebelum ini hanya boleh memperlihatkan kelajuan penuh melalui komputer yang dikuasakan CPU AMD Zen 2 dan keatas.

Bukan itu sahaja, siri cip pemprosesan ini juga hadir dengan sokongan untuk teknologi penghantaran data pantas Thunderbolt 4, dan juga sambungan WiFi 6E menggunakan modem Killer WiFi AX1675.

Komputer-komputer riba gaming dan produktiviti yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Tiger Lake-H ini dijangka akan tiba di pasaran antarabangsa sekitar penghujung Mei ke bulan Jun kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd