ASUS Memperlihatkan Dua Model ROG Zephyrus Baru Yang Dikuasakan Intel Tiger Lake-H Dan NVIDIA GeForce RTX 3000

Diterbitkan pada Mei 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Semalam Intel akhirnya telah memperkenalkan siri cip pemprosesan Tiger Lake-H mereka, yang dibangunkan khusus untuk komputer-komputer riba berprestasi tinggi, khususnya komputer riba gaming, dan kini, ASUS telah memperlihatkan dua model komputer riba gaming ROG Zephyrus yang menggunakan cip-cip pemprosesan tersebut.

Dua model komputer riba gaming ini termasuklah ROG Zephyrus S17 dan juga ROG Zephyrus M16, yang boleh dikatakan dua daripada siri komputer riba siri ROG Zephyrus paling berkuasa yang akan diperkenalkan oleh ASUS.

Bermula dengan ROG Zephyrus S17, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin bersaiz 17 inci yang hadir dengan dua pilihan skrin, satu dengan resolusi WQHD dan kadar segar semula yang tinggi bersama-sama sokongan NVIDIA G-SYNC, ataupun paparan beresolusi 4K yang hadir dengan kejituan warna yang lebih tinggi dan juga sokongan untuk teknologi paparan AdaptiveSync.

Dari segi spesifikasi dalaman, ROG Zephyrus S17 ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-11900H yang dipadankan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 yang menjanjikan pengalaman gaming yang terbaik, tidak kira jenis permainan komputer yang digerakkan.

Keunikan ROG Zephyrus S17 ini, sama seperti kebanyakan model Zephyrus sebelum ini hadir melalui sistem penyejukan Active Aerodynamic System mereka, dimana kali ini, bahagian papan kekunci komputer riba ini dinaikkan sebanyak 5 darjah untuk bukan sahaja membolehkan lebih banyak udara dialirkan kedalam dan keluar bahagian komponen-komponen ini, tetapi juga menjanjikan pengalaman menaip yang lebih selesa berbanding dengan papan kekunci mendatar pada komputer riba yang lain.

Beralih kepada ROG Zephyrus M16 pula, komputer riba ini bukan sahaja dibangunkan untuk penggemar permainan video kelas bangsawan, tetapi juga untuk mereka yang bekerja dalam industri kreatif dan memerlukan spesifikasi komputer yang berkuasa untuk mengolah dan menyunting grafik dan video pada resolusi tinggi.

Bermula dengan paparan skrin komputer riba ini, ia dilengkapi dengan panel IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi WQHD pada nisbah 16:10 dan kadar segar semula 165Hz. Bagi mereka yang mementingkan kejituan warna, paparan ini boleh memperlihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 yang digunakan oleh penyunting filem, pengesahan PANTONE untuk profesional grafik, dan juga Dolby Vision bagi mereka yang gemar menonton video dan filem yang hadir dengan sokongan untuk teknologi video HDR dan sebagainya.

Dari segi spesifikasi dalaman, Zephyrus M16 ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-11900H sama seperti ROG Zephyrus S17, tetapi menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070.

Paparan skrin komputer riba ini bukan satu-satunya bahagian yang memperlihatkan penambah-baikan. Ia juga hadir dengan sistem audio dengan enam pembesar suara terbina yang juga menyokong teknologi audio Dolby Atmos yang memadankan kualiti audio tinggi bersama-sama dengan paparan Zephyrus M16 ini.

Dengan ketebalan 19.9mm dan juga berat 1.9kg sahaja, komputer riba ini bukan sahaja sebuah komputer riba desktop replacement yang berkuasa, tetapi juga boleh dibawa kemana-mana khususnya untuk mereka yang bekerja sebagai freelancer dalam industri kreatif, ataupun untuk dibawa ke acara LAN Party tanpa perlu membawa desktop.

ASUS mengatakan bahawa kedua-dua komputer riba ini akan dilancarkan tidak lama lagi, dan menurut ASUS Malaysia, terdapat kebarangkalian besar kita akan mengetahui lebih lanjut mengenai kehadirannya di pasaran tempatan sekitar bulan Jun kelak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami