HTC Vive Pro 2 Diumumkan Dengan Skrin 5K 120Hz

Diterbitkan pada Mei 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti dijanjikan, HTC melancarkan set kepala realiti maya terkini mereka pagi ini. HTC Vive Pro 2 dikemaskini dengan skrin beresolusi 5K dengan kadar semula 120Hz serta sudut pandangan 120 darjah. Ini adalah peningkatan hampir dua kali ganda berbanding Vive Pro dengan skrin 2K 90Hz serta sudut pandangan 110 darjah.

Selepas tiga tahun penambahbaikan lain yang diberikan ialah Display Stream Compression bagi menawarkan kualiti paparan yang lebih baik dengan mengurangkan isu kekaburan. Selain itu dengan skrin 5K, isu screendoor effect juga berjaya dihapuskan membolehkan pengguna menyelami dunia maya dengan lebih mendalam.

Dari segi audio pula, Vive Pro 2 menyokong audio beresolusi tinggi serta spatial. Kesemua aksesori yang dihasilkan untuk Vive Pro seperti kit mengesan pergerakan wajah boleh digunakan semula pada model terkini ini. Jualan HTC Vive Pro 2 akan dibuka pada bulan Jun dengan harga jualan bermula dari $749 (~RM3090) untuk set kepala sahaja atau $1399 (~RM5771) untuk kit lengkap dengan pengawal permainan dan penjejak kedudukan Base Station 2.0

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami