Selain HTC Vive Pro 2, HTC Vive Focus 3 turut diumumkan pagi tadi. Ia adalah peranti realiti maya kendiri generasi ketiga keluaran mereka sejak kali pertama dilancarkan pada tahun 2017. Seperti Vive Pro, Vice Focus 3 turut dilengkapi skrin beresolusi 5K tetapi sekadar 90Hz. Cip yang digunakan pula ialah Qualcomm Snapdragon XR2 yang diumumkan dua tahun lalu dan sama seperti cip pada pesaingnya Oculus Quest 2.

Focus 3 kini hadir dengan pek bateri yang mudah ditanggalkan untuk membolehkan ia digunakan berterusan lebih lama. Pek bateri diletakkan di belakang kepala untuk mengimbangi berat di bahagian hadapan. Dengan sekali caj, ia boleh beroperasi sehingga 2 jam. Sistem pengecasan pantas membolehkan bateri dicas ke 50% dalam masa hanya 30 minit.

Ia turut hadir dengan alat kawalan permainan yang boleh dikesan di dalam dunia maya. Antara ciri lain yang menarik ialah ciri menstrim permainan video dari PC terus ke Focus 3 secara nirwayar. Dari segi audio pula, peranti menyokong audio spatial menerusi fon kepala yang terbina.

HTC Vive Focus 3 akan dilancarkan pada bulan Jun pada harga $1,300 (~RM5363) yang adalah lebih mahal berbanding Vive Pro 2. Ini adalah kerana ia hadir dengan sokongan perisian untuk perniagaan. Tidak seperti Quest 2, HTC melihat Focus 3 sebagai peranti realiti maya kendiri yang menyasarkan pengguna komersil.