Facebook mengumumkan mereka akan melancarkan aplikasi khas Instagram untuk pengguna berusia bawah 13 tahun. Menerusi platform ini, kanak-kanak yang pada waktu ini menggunakan Instagram secara haram boleh menikmati platform media sosial ini dengan lebih selamat.
Tetapi rancangan Facebook ini telah menerima tentangan sejak dari awal oleh badan NGO dan persatuan keselamatan kanak-kanak. Mereka ingin melindungi kanak-kanak dari isu kesihatan mental dan bahaya yang wujud di Internet kerana kanak-kanak tidak bersedia untuk memiliki akaun media sosial peribadi. Kini Facebook turut digesa supaya membatalkan rancangan untuk melancarkan Instagram untuk kanak-kanak oleh Persatuan Peguam Negara Amerika Syarikat.
Sekiranya dilancarkan, ia boleh mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya antun seksual oleh golongan pedofil, buli atas talian, kandungan yang tidak sesuai dengan usia serta data peribadi digunakan bagi tujuan pengiklanan.
Kerisauan pelbagai pihak mengenai Instagram versi kanak-kanak ini berasas memandangkan pada platform utama mereka isu ini tidak berjaya diselesaikan dengan kandungan tidak sesuai sering terlepas. Dengan mewujudkan platform baharu ia hanya membuka Kotak Pandora untuk isu yang sama menyerang generasi lebih muda yang lebih naif dalam penggunaan media sosial.