Cari @ Amanz

Dengan pelancaran siri cip pemprosesan terbaru Tiger Lake-H untuk komputer riba berkuasa, Acer dilihat telah mengumumkan kemaskini untuk sejumlah siri komputer riba gaming mereka, termasuklah Predator Triton 300 dan Predator Helios 300.

Bermula dengan Predator Triton 300, komputer riba ini hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci dengan dua pilihan resolusi, termasuklah Full HD dengan kadar segar semula 360Hz ataupun QHD dengan kadar segar semula 165Hz.

Dari segi spesifikasi dalaman pula, Predator Triton 300 baru ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7 Tiger Lake-H yang terbaru, pilihan memori DDR4 sehinga 32GB dan juga storan SSD NVMe. Lebih menarik lagi, komputer riba ini turut dikuasakan pilihan siri GPU NVIDIA GeForce RTX 3000, sehinggalah GeForce RTX 3080.

Siri Predator Triton 300 juga biasanya hadir dengan sistem penyejukan komponen terbaru, dan kini, ia menggunakan sistem penyejukan AeroBlade 3D generasi ke-5 yang hadir dengan kipas penyejukan yang boleh mengalirkan udara lebih cekap berbanding sebelum ini.

Walaupun ia hadir dengan komponen berkuasa, ketebalan komputer riba ini yang hanya 19.9mm membolehkannya dibawa kemana-mana dengan mudah.

Acer Predator Helios 700

Beralih kepada Predator Helios 300, komputer riba gaming ini hadir dengan spesifikasi yang hampir sama dengan Triton 300, cuma komputer riba tersebut hadir dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 3070 sahaja. Dari segi spesifikasi dalaman yang lain, ia juga dikuasakan CPU Intel Core i7 Tiger Lake-H, memori DDR4 sehingga 32GB dan juga storan SSD NVMe terbina.

Ia juga menggunakan sistem penyejukan AeroBlade 3D generasi ke-5 yang memastikan komponen-komponen dalaman komputer riba ini berfungsi secara optimal.

Menurut Acer, kedua-dua komputer riba Predator Triton 300 dan Predator Helios 300 akan mula ditawarkan di pasaran-pasaran terpilih bermula bulan Jun kelak. Untuk pasaran tempatan, Acer Malaysia akan mengumumkan ketibaannya tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd