Asus hari ini telah memperkenalkan dua telefon pintar dibawah siri Zenfone 8 secara rasminya, iaitu Asus Zenfone 8 dan juga Asus Zenfone 8 Flip.
Kedua-dua telefon pintar dibawah siri Zenfone 8 ini dijana dengan cip Snapdragon 888. Asus Zenfone 8 hadir dengan rekaan bersaiz kompak, dengan skrin 5.9-inci, sementara Asus Zenfone 8 Flip pula menggunakan skrin bersaiz 6.67-inci. Kedua-dua model ini turut hadir dengan panel paparan pada kadar segar semula 120Hz, selain pengimbas cap jari terbina pada skrin.
Selain itu, kedua-duanya membawakan beberapa perbezaan. Asus Zenfone 8 hadir dilengkapi dengan pilihan memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 256GB, dan bateri berkapasiti 4000mAh dengan sokongan Quick Charge 4.0.
Melengkapkan Zenfone 8 bersaiz kompak ini adalah dwi-kamera belakang gabungan sensor utama 64-megapixel, selain kamera ultra-lebar 12-megapixel. Untuk rakaman swafoto, ia dilengkapi sensor 12-megapixel.
Asus Zenfone 8 Flip pula menawarkan rekaan yang unik, dan dengan saiz besar, turut menyertakan kapasiti bateri lebih besar.
Asus Zenfone 8 Flip hadir dengan pilihan memori sehingga 8GB RAM, storan sehingga 256GB, dan bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan Quick Charge 4.0.
Asus Zenfone 8 Flip hadir dengan rekaan unik yang membolehkan kamera digerakkan dan dibawa ke hadapan – sekaligus hanya memfokuskan satu penawaran panel kamera untuk rakaman utama dan juga swafoto.
Untuk tujuan tersebut, tiga sensor kamera digunakan, dengan sensor utama 64-megapixel, sensor ultra-lebar 12-megapixel, dan sensor telefoto 8-megapixel dengan keupayaan zum optikal sehingga 3 kali.
Selain daripadanya, kedua-dua model ini menawarkan sokongan rakamman video 8K UHD, dan dilengkapi Android 11 dengan ZenUI 8.
Buat masa ini, harga jualan untuk kedua-dua model telefon pintar ini masih tidak diketahui lagi untuk pasaran Malaysia.