Cari @ Amanz

Pada era digital masa kini, cip pemprosesan dan semikonduktor memainkan peranan penting dalam operasi pelbagai peranti. Bukan sahaja telefon dan komputer menggunakan cip, tetapi ia turut digunakan pada kenderaan, peti sejuk, mesin basuh, sehinggalah pada berus gigi.

Apa pun, sejak daripada tahun lepas, salah satu industri yang terkesan teruk adalah arena semikonduktor – sekaligus membawa kepada kekurangan pengeluaran cip pada peringkat global.

Ini sekaligus membawa kepada penangguhan pelancaran sejumlah produk, selain produk sedia ada seperti konsol, telefon dan komputer yang tidak boleh memenuhi permintaan pengguna.

Bercakap mengenainya, penganalisa di firma Forrester kini menyasarkan masalah kekurangan ini mungkin berlanjutan sehingga 2023 kelak.

Ia dikatakan permintaan untuk komputer mungkin akan mula dapat dipenuhi dalam tahun akan datang – tetapi tidak secara menyeluruh. Disamping itu, pelbagai industri – seperti pusat data contohnya, akan mempunyai permintaan tinggi dan memerlukan lebih cip pada tahun hadapan berbanding sebelum ini disebabkan peningkatan arena digital.

Selain itu, permintaan cip dalam arena automotif juga kian meningkat, dan dijangka akan memberikan kesan sehingga 2022 sebelum mula pulih secara berperingkat selepas itu.

Walaupun tempoh ini dilihat agak lama, tetapi boleh dikatakan agak realistik – memandangkan masih terdapat pelbagai pengeluaran yang tidak dapat memenuhi kapasiti sehingga ke hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd