Instagram Dan Twitter Menyalahkan Pepijat Menyebabkan Kandungan Pro Palestin Dipadam

Diterbitkan pada Mei 13, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak minggu lalu isu paling hangat diperkatakan selain PKP dan Hari Raya ialah serangan Israel ke atas Masjidil Aqsa ketika umat Palestin sedang mengerjakan solat tarawikh di malam-malam terakhir Ramadan. Kemudian penduduk Sheikh Jarrah telah diusir dari kediaman bagi memberi laluan kepada warga Isreal. Serangan tanpa provokasi telah menyebabkan Palestin kini dibom tanpa henti dengan angka kematian mencecah 50 dengan lebih 300 mengalami kecederaan.

Warna dunia segera memberikan sokongan solidariti kepada Palestin menerusi pelbagai platform media sosial menggunakan tagar #AlAqsa, #SheikhJarrah dan #FreePalestin. Namun begitu Instagram mula memadam kandungan dan menggantung akaun yang menggunakan tagar-tagar ini dengan notifikasi mengatakan ia melanggar terma serta syarat laman yang menentang kumpulan pengganas. Isu ini juga tular mengakibatkan aplikasi diserang di stor atas talian dengan ulasan satu bintang.

Menurut Reuters, pemadaman dan penggantungan akaun yang menunjukkan solidariti dengan Palestin ini berlaku secara tidak sengaja. Sistem moderasi kandungan mereka secara automatik memadam kandungan yang menyebut Al Aqra kerana menyangka ia sokongan kepada Briged Al Aqsa yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Al Aqsa. Oleh itu kandungan yang telah dipadam secara tidak sengaja oleh sistem automatik telahpun dikembalikan dan Facebook memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.

Namun begitu menurut laporan Buzzfeed News, alasan yang diberikan adalah tidak memuaskan sehingga menerima kritikan dari kakitangan Facebook sendiri. Memo dalaman yang diakses oleh Buzzfeed mendapati adalah tidak masuk akal sistem tidak mampu membezakan solidariti dengan Al Aqsa dengan briged tentera. Ia seperti Facebook secara tidak sengaja memadam semua kandungan ketika serangan Capitol Hill tempohari secara pukul rata.

Pada waktu yang sama Twitter juga menyalahkan sistem moderasi automatik yang mengakibatkan akaun wartawan yang melakukan laporan ke atas serangan rejim Zionis ke atas Palestin digantung. Akaun Mariam Barghouti digantung dengan Twitter mengarahkan kandungan yang melanggar terma perkhidmatan dipadam terlebih dahulu. Walaupun akaun telah dipulihkan, ia gagal memadamkan teori konspirasi bahawa gerakan pro-Palestin di platform media sosial cuba dibisukan oleh golongan pro-Israel.

Sehingga hari ini, topik paling sohor kini di kesemua media sosial adalah mengenai serangan ke atas Palestin. Sumbangan Malaysia dalam isu ini ialah menyerang akaun tentera Israel (IDF) sehingga mengakibatkan carian makna perkataan koyak meningkat 1100% sejak tiga hari yang lalu.

Sumber BuzzfeedNews, Motherboard dan Reuters

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami