Cari @ Amanz

Xiaomi hari ini telah melancarkan fon telinga premium mereka tersendiri, dinamakan sebagai FlipBuds Pro. Buat masa ini, Xiaomi memasarkannya di China sahaja, dan dilihat ia diposisikan sebagai fon telinga premium berbeza dengan beberapa penawaran mereka sebelum ini.

Xiaomi FlipBuds Pro hadir dengan rekaan  seumpama Apple AirPods Pro, dan hadir dengan sokongan pembatalan hingar aktif. Xiaomi menyertakan tiga mod pembatalan hingar ini, menawarkan kadar pembatalan sehingga 40 desibel dan boleh diselaraskan berdasarkan persekitaran pengguna.

Xiaomi FlipBuds Pro turut menyokong teknologi Qualcomm aptX Adaptive dalam menawarkan kualiti bunyi baik – dan disesuaikan untuk muzik mmahupun permainan video.

Melengkapkan fon telinga ini juga adalah sokongan tiga mikrofon, dan menyokong Bluetooth 5.2.

Untuk penggunaan bateri, Xiaomi mengatakan ia menyokong penggunaan selama lima jam dengan pembatalan hingar aktif. Pengguna boleh nyah-aktifkan ciri berkenaan, dan menikmati dua jam penggunaan tambahan.

Untuk pengecasan, ia dilengkapi kerangka yang menyokong pengecasan secara nirwayar atau menggunakan kabel USB-C. Pengguna boleh menggunakan fon telinga mereka sehingga 28 jam dengan menggunakan kerangka ini untuk mengecas ketika tidak digunakan.

Xiaomi turut menyertakan sokongan berhubung pantas bersama telefon Xiaomi, selain turut boleh digunakan bersama sejumlah peranti lain di pasaran.

Buat masa ini, ia hanya diumumkan di China sahaja, dan ditawarkan pada harga 799 Yuan, iaitu sekitar RM511.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd