Cari @ Amanz

Xiaomi Mi 11 adalah antara peranti terbaik yang pernah saya gunakan, sebelum menggunakan Mi 11 Ultra. Ia adalah antara peranti Xiaomi yang mengalami pelbagai perubahan baru yang menarik daripada perisian dan juga perkakasan. Walaupun begitu, perisian versi global kebiasaannya ketinggalan jauh berbanding dengan pengguna di China. Jika anda baca semua ulasan peranti Xiaomi/Redmi/Poco saya, MIUI 12 seakan tidak matang dan tidak stabil.

Ada banyak masalah prestasi yang tidak konsisten, pengurusan memori yang tidak cekap serta pengoptimasian yang tidak memuaskan. Kemudian, setiap kali saya akan katakan ini akan berubah dalam MIUI 12.5 akan datang. Akhirnya selepas beberapa bulan menanti, pengguna Mi 11 di Malaysia kini menerima kemaskini MIUI 12.5 . Versi yang diterima oleh majoriti pengguna adalah MIUI 12.5.1 dengan Android 11.

Dalam senarai log perubahan, Xiaomi menyatakan yang mereka telah menambah-baik kawalan gestur yang kini lebih pantas. Sistem turut kini mempunyai 20 kali ganda kuasa render untuk memberikan pengalaman penggunaan skrin jauh lebih baik. Dengan hanya kemaskini perisian melalui format pembangunan baharu, semua peranti dengan MIUI 12.5 akan menjadi lebih pantas setiap kali selepas dikemaskini. MIUI juga dikatakan lebih ringan, pantas, lancar dan lebih tahan lama.

Untuk pengguna global, masih banyak ciri dan fungsi yang dihadkan kerana perkhidmatan digital/perisian yang eksklusif di China. Seperti Apple, iPhone di luar negara mempunyai ciri lebih banyak berbanding di Malaysia. Tetapi untuk Mi 11, MIUI 12.5 ini turut membawakan aplikasi nota baharu dengan kemampuan menjana peta minda, alatanm menconteng dan lakaran, kawalan gestur, lebih mudah untuk salin teks dan imej, serta antaramuka baharu yang lebih mesra pengguna.

Saiz kemaskini dilihat berbeza pada setiap pengguna, di Facebook Group Mi 11 Series Malaysia ramai yang menerima kemaskini sekitar 699MB. Ada juga mendakwa sudah menerima MIUI 12.5 dua kali, satu 12.5.0 dan kemudian versi 12.5.1. Unit ulasan saya menggunakan MIUI 12 yang lebih lama, jadi kemaskini saya adalah sekitar 2GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd