Tips WhatsApp #4: Sejauh Manakah Selamatnya Segala Perbualan Anda?

Diterbitkan pada Mei 17, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika sebelum ini, kami di Amanz pernah berkongsi mengenai beberapa petua untuk kekal selamat menggunakan aplikasi WhatsApp. Untuk tips kali ini, sekali lagi kami akan berbicara soal keselamatan – tetapi lebih menjurus kepada kepada sejauh mana kepentingannya dari segi privasi dan keselamatan.

WhatsApp Messenger

Seperti diketahui umum, pelaksanaan terhadap perubahan polisi privasi pada aplikasi WhatsApp ternyata menjadi topik bualan utama yang belum pasti bila akan reda. Rata-rata pengguna di media sosial di negara ini meluahkan rasa bimbang dengan apa yang terjadi. Lebih mengeruhkan keadaan, ia turut sering diperdebatkan oleh ramai pihak sehingga menimbulkan kekeliruan dalam memahaminya.

Dihuraikan dalam bentuk penjelasan ringkas dan padat, WhatsApp mengatakan privasi permesejan antara pengguna adalah kekal dan tidak terkesan dengan perubahan polisi ini. Bukan itu sahaja, pihak WhatsApp turut menekankan bahawasanya mereka tidak menyimpan sebarang log panggilan atau permesejan. Selain itu, mereka turut tidak akan berkongsi lokasi semasa pengguna bersama Facebook.


Ciri Penyulitan Hujung Ke Hujung (End-To-End Encryption)

Pengguna juga sebenarnya tidak perlu risau dalam soal keselamatan kerana masih ada pendekatan sistematik yang disediakan khususnya untuk menjamin keselamatan umum. Misalnya seperti ciri penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption). Ciri ini dibangunkan dengan kerjasama Open Whisper Systems. Melaluinya, pelbagai bentuk kandungan seperti mesej, foto, video, dokumen, panggilan dan lain-lain akan dilindungi daripada diakses oleh mana-mana pihak ketiga.

Pihak ketiga dalam konteks ini bermakna mana-mana organisasi atau pihak yang sama sekali tidak ikut dan terlibat secara langsung di dalam perbualan dibuat. Ini termasuklah, pihak WhatsApp atau syarikat induknya iaitu Facebook turut sama tidak akan dapat mengakses. Bermaknanya di sini, segala perbualan yang disulitkan dibuat secara menyeluruh dan hanya boleh dibaca dalam bentuk teks berbentuk biasa yang dinyahsulit oleh pengirim serta penerima sahaja.


Kunci Kriptografik Untuk Pelindungan Menyeluruh

Hal ini dikatakan demikian kerana ciri ini akan melindungi sebarang mesej dengan ‘kunci keselamatan khusus’ dinamakan sebagai kunci kryptografik dan hanya pihak penerima dapat membukanya. Untuk perlindungan yang lebih menyeluruh, kunci keselamatan ini akan berubah untuk setiap satu mesej yang dihantar. Ini bermaksud, setiap kenalan akan mempunyai kunci keselamatan yang berbeza. Kesemua proses ini bagaimanapun berlaku secara belakang tabir. Tetapi, pengguna masih boleh membuat semakan keselamatan untuk setiap perbualan dengan melihat kepada kod pengesahan menerusi peranti masing-masing.

Klik Pada Tab Penyulitan (Encryption) Untuk Mengakses Kod QR & Nombor 60 digit

Untuk makluman pengguna juga, mana-mana kenalan yang diaktifkan dengan ciri penyulitan hujung ke hujung ini akan mempunyai kod keselamatan tersendiri. Ianya akan dipaparkan dalam bentuk kod QR dan nombor 60 digit yang hanya boleh diakses oleh kedua-dua pihak sahaja. Di samping itu, ia juga adalah kod unik yang sangat berguna bagi mengesahkan setiap panggilan dan mesej yang dihantar adalah disulitkan secara hujung ke hujung.


Apakah Yang Akan Dilindungi Olehnya?

a) Pemesejan Peribadi

Ciri penyulitan hujung ke hujung mampu memberi peluang untuk meningkatkan komunikasi dan sistem penyampaian peribadi yang selamat dalam kalangan pengguna. Seperti yang diterangkan di dalam beberapa perenggan di atas, ia akan memastikan hanya pengirim dan penerima sahaja yang boleh membaca mahupun mendengar sebarang kandungan yang dihantar.

Hal ini dikatakan demikian kerana ciri penyulitan hujung ke hujung ini akan melindungi sebarang mesej dihantar dengan ‘kunci khusus’. Berbalik kepada beberapa perenggan sebelumnya lagi, sekali lagi diingatkan hanya pengirim dan penerima sahaja yang mempunyai akses untuk membuka mesej yang dihantar. Ia secara tidak langsung membolehkan pengguna untuk berkomunikasi secara peribadi dengan sesiapa sahaja tanpa perlu risau mengenai pencerobohan privasi. Ciri ini juga diaktifkan secara lalai tanpa sebarang akses tetapan tambahan yang diperlukan untuk mengaktifkannya.


b) Pemesejan Perniagaan

Berbeza dengan pemesejan perniagaan, kebiasaannya pemesejan sebegini dianggap lebih terbuka. Di mana, pengguna sendiri tidak pasti dengan siapa mereka berinteraksi. Ini pastinya akan menimbulkan perasaan gusar dalam kalangan mereka dan turut menjejaskan kebolehpercayaan terhadap keselamatan di aplikasi WhatsApp. Pun begitu, usah terlalu risau kerana setiap mesej yang dihantar akan tetap dilindungi oleh ciri penyulitan hujung ke hujung yang sama.

Mesej Dihantar Terus Kepada Peniaga

Melaluinya, setiap mesej akan dihantar dengan selamat kepada mana-mana akaun WhatsApp Business terpilih. Akan tetapi, proses selepas mesej dihantar adalah tertakluk kepada privasi perniagaan itu sendiri. Maksudnya di sini, terdapat juga segelintir peniaga yang mungkin melantik beberapa agen atau wakil untuk proses kemaskini selanjutnya. Sehubungan dengan itu, pengguna disarankan untuk berhubung sendiri dengan pihak berkaitan untuk ketahui lebih lanjut mengenainya.

Mesej Dihantar Kepada Agen Dilantik

c) Pemindahan Akaun

Meskipun ciri pemindahan akaun di WhatsApp masih belum tersedia di Malaysia. Namun, perkongsian ini boleh dianggap sebagai garis panduan bersama. Seperti yang diketahui umum, ciri ini sebenarnya sudah tersedia untuk beberapa negara tertentu termasuklah India. Melaluinya, ia akan memudahkan pengguna untuk menghantar dan menerima duit dengan mudah melalui aplikasi WhatsApp sahaja.

Difahamkan juga, segala butiran yang berkait rapat dengan kad serta nombor akaun bank pengguna akan disimpan dengan rapi dan sistematik. Menurut WhatsApp, ia bagaimanapun tidak dilindungi dengan ciri penyulitan hujung ke hujung secara menyeluruh. Ini berikutan, terdapatnya beberapa pihak bank yang tidak dapat meneruskan sebarang akses tanpa maklumat lanjut berkaitan dengan pembayaran dibuat.

WhatsApp Payment
WhatsApp Payments Di India

Kemaskini Polisi Baharu Kini Bermula…

Selepas membuat penangguhan sekitar dua bulan lebih, WhatsApp kini mengumumkan perubahan polisi baharu secara rasminya. Pengguna juga disarankan untuk menerima polisi baharu ini bagi mengelakkan gangguan pada aplikasi. Mana-mana pengguna yang tidak menerima polisi baharu ini dalam masa terdekat, mereka akan dipaparkan dengan notifikasi dengan kerap sehingga mereka menerimanya.

Kemaskini Polisi Baharu WhatsApp

Jika ianya masih berlarutan, WhatsApp akan beralih ke fasa seterusnya. Di mana, pengguna tidak akan dibenarkan untuk mengakses senarai sembang pemesejan. Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai akses untuk melihat notifikasi dan membalasnya dengan klik pada notifikasi berkenaan. Di samping itu, sebarang panggilan suara atau video juga masih boleh dijawab sedia kala.

Akan tetapi lama kelamaan, WhatsApp akan menghalang sejumlah lagi akses sedia ada dan menjadikannya tidak lagi boleh digunakan. WhatsApp memaklumkan, mereka sama sekali tidak akan memadam mana-mana akaun. Tetapi, seperti sedia maklum mana-mana akaun yang tidak aktif dalam tempoh 120 hari akan dipadam secara automatik.


Kesimpulan

Mungkin benar terdapat banyak kekeliruan yang berlaku melibatkan soal keselamatan dan privasi pada aplikasi WhatsApp ini. Meskipun begitu, anda perlu tahu pastinya pihak WhatsApp sendiri sedia mengambil pendekatan dalaman yang sepatutnya untuk keselamatan semua pihak. Tambahan pula, WhatsApp sedia memaklumkan bahawa mereka sentiasa mengutamakan privasi dan keselamatan dalam kalangan pengguna sebagai perkara asas. Bukan itu sahaja, tujuan utama kewujudan aplikasi ini sendiri adalah bagi membantu pengguna terus berhubung dengan orang sekeliling dan berkongsi maklumat penting dengan baik sekali. Sebelum kami mengakhiri artikel ini, bagi anda yang mungkn terlepas beberapa tips sebelum ini. Jangan lupa membacanya menerusi pautan di bawah :

  1. Tips WhatsApp #1: 5 Petua Untuk Kekal Selamat Menggunakannya
  2. Tips WhatsApp #2: 5 Petua Membanteras Berita Palsu
  3. Tips WhatsApp #3: Enam Perkara Asas Yang Perlu Anda Tahu Mengenai WhatsApp Business

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami