Xiaomi Mungkin Akan Melancarkan Semula Redmi Note 8 Dengan Cip Helio G85

Diterbitkan pada Mei 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Redmi Note 8 adalah peranti utama generasi kedua daripada Redmi, selepas melancarkan Redmi Note 7. Kedua-dua peranti ini dilancarkan pada tahun yang sama, iaitu 2019 – di mana tahun yang sama Xiaomi menjadikan Redmi sebagai sub-jenama.

Sejak daripada itu, peranti-peranti di bawah jenama Redmi menawarkan sesuatu yang berbeza dan dilihat seakan bersaing dengan jenama sendiri seperti Mi. Terkini selepas dua tahun, Xiaomi mungkin akan melancarkan semula Redmi Note 8 untuk tahun 2021. Ia adalah versi baru dengan janaan cip daripada MediaTek, iaitu Helio G85. Selain itu peranti ini dilihat akan dilancarkan terus dengan MIUI terbaru, iaitu MIUI 12.5 berasaskan Android 11 dan bateri 4000mAh.

Menurut sumber lain, peranti ini dikatakan akan hadir dengan sokongan pengecasan pantas 22.5W dan juga tetapan kuad-kamera 48 Megapixel. Peranti ini juga akan mengekalkan rekaan skrin bertakuk kecil dan mempunyai storan dalaman 128GB dan RAM 4GB. Ia juga terhad dengan rangkaian 4G sahaja.

Informasi ini diperoleh oleh pengguna Twitter @kacskrz, yang mana sebelum ini banyak mendedahkan maklumat awal dan ianya tepat. Jika kita rujuk kembali peranti Redmi Note 8 yang sudah berusia dua tahun ini, ia hadir dengan skrin LCD FHD+, pengimbas cap jari di belakang, masih ada port bicu audio 3.5mm, slot kad mikroSD, dan dijual pada harga mampu milik.

Agak aneh kenapa Xiaomi ingin kembalikan peranti ini pada tahun ini. Sedangkan mereka sedang bersungguh-sungguh fokus kepada pelancaran siri Redmi Note 10 untuk pasaran global. Peranti Redmi Note 8 baharu ini dikatakan akan menjadi eksklusif untuk pasaran Eropah dan Rusia. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami