Grab kini dilihat telah pun mengaktifkan ciri pembayaran DuitNow QR pada aplikasi mereka, sekaligus membolehkan para pengguna menggunakan GrabPay dalam melakukan transaksi pembayaran pada pekedai yang menggunakan DuitNow QR.
Untuk makluman, DuitNow QR merupakan kod QR universal yang disediakan oleh PayNet, dalam membolehkan semua penyedia dompet digital dan bank menyokongnya untuk tujuan transaksi. Langkah ini juga mengelakkan penggunaan pelbagai variasi kod QR berbeza, dan membuatkan lambakan kod QR hadir pada kaunter pembayaran pekedai.
Pada hari ini, antara dompet digital yang menyokong pembayaran DuitNow QR adalah termasuk ShopeePay, Touch n Go eWallet dan juga Boost.
Penambahan GrabPay ini semestinya disukai dan permudahkan lagi urusan orang ramai dalam melakukan pembayaran. Buat masa ini, pembayaran DuitNow QR hanya disokong untuk akaun perusahaan sahaja, dan belum disokong untuk akaun individu.