Gboard adalah aplikasi papan kekunci yang menarik, ia ringkas, mudah dan penuh dengan pelbagai ciri serta fungsi menarik. Malah aplikasi papan kekunci ini menjadi kegemaran saya dan saya gunakan pada kedua-dua iPhone dan peranti Android saya.
Antara ciri menarik yang Google pinjam daripada Samsung adalah, sokongan papan klip yang boleh simpan semua data yang disalin untuk mudah ditampal pada mana-mana aplikasi. Terkini, papan klip Gboard telah dikemaskini dengan kemampuan terus menampal tangkapan layar yang diambil pengguna. Gunakan sahaja kawalan gestur atau butang pintasan untuk melakukan tangkapan layar, secara automatik ia akan disimpan dalam papan klip Gboard. Kemudian buka sahaja apa-apa aplikasi yang ada ruangan teks atau yang boleh menampal imej.
Gboard akan mencadangkan tangkapan layar terkini, atau anda boleh tekan sahaja ikon papan klip untuk pilih yang mana satu anda ingin tampal. Ciri ini sudah diedarkan sejak beberapa minggu lepas melalui ujian beta dan secara a/b, tetapi hanya baru-baru ini ia mula boleh diakses secara lebih meluas. Pada peranti-peranti Android saya, Gboard versi 10.6.01 adalah versi di mana ciri ini mula muncul. Anda boleh kemaskini di Play Store atau cari APK yang terkini.