Cari @ Amanz

Sekali lagi, peniris terkenal Jon Prosser telah meniriskan maklumat menarik mengenai produk Google. Beberapa hari lepas, imej pengolokan Pixel 6 dan Pixel 6 Pro telah beliau dedahkan dengan dakwaan ia direka berdasarkan imej sebenar yang telah beliau saksikan.

Terkini, beliau hadir dengan video mengenai Android 12 pula. Dalam video ini, beliau mendedahkan rekaan antaramuka baharu serta beberapa ciri dan fungsi menarik. Tetapi apa yang paling menarik dalam video beliau kali ini adalah, rekaan Android 12 yang kelihatan seakan bukan sistem operasi Android langsung. Ia kelihatan menggunakan elemen Fuchsia OS, sedikit elemen One UI dan digabungkan dengan Android asli.

Semua elemen dalam Android 12 ini boleh dikatakan baru dan segar. Sudah sekian lama, perubahan antaramuka adalah kecil sahaja. Kini kita boleh lihat pemain media baharu, ikon akses penjimat bateri yang lain, widget cuaca yang lebih kecil, penggelungsur kecerahan baharu dan pelbagai lagi ikon akses pantas untuk rangkaian yang menarik perhatian. Kawalan notifikasi juga dilihat lebih menarik digunakan dengan penggunaan elemen berwarna-warni, serta kawalan lain yang menjadikan Android lebih pintar.

Papan kekunci juga dilihat menggunakan tema baharu, boleh jadi Google telah menggantikan papan kekunci AOSP dengan Gboard, bar status juga berbeza dengan apa yang Android pernah tawarkan, kunci skrin juga kini memaparkan jam yang lebih besar – secara tidak langsung tiada lagi jam pada talam notifikasi. Animasi juga lebih cantik, pantas dan cantik. Kebanyakan elemen rekaan ini dilihat mirip dengan One UI tetapi dengan iterasi Android asli.

Beberapa ciri, fungsi serta rekaan ini sudah pun tertiris sebelum ini. Sejak Android 10, Google dilihat telah mula menawarkan kustomasi tema serta perubahan antaramuka secara menyeluruh – tetapi ia tidak hadir dalam versi akhir begitu juga pada Android 11. Dengan acara Google I/O yang sudah semakin hampir, dakwaan Jon adalah video ini adalah video rasmi daripada Google sendiri. Ia juga mirip dengan rekaan tertiris, jadi tidak terkejut jika ia adalah benar.

Selain itu, Android 12 juga dikatakan menawarkan pengalaman penggunaan baru yang lebih menawan, perlindungan privasi dan sekuriti yang lebih ketat dan juga semua peranti boleh berfungsi antara satu sama lain dengan lebih baik. Bahagian akhir itu mungkin petanda antara Android dan Chromebook.

Jika AOSP kelak sudah hadir dengan rekaan seperti ini, apa lagi perubahan yang pengeluar peranti boleh ubah? Adakah penggunaan memori akan bertambah? Adakah ia lebih lancar? Soalan penting, adakah rekaan ini hanya untuk Android asli atau Google akan memaksa rekaan Android perlu selari? Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd