Jika anda berkecimpung dalam arena teknologi serantau, anda pasti sekurang-kurangnya pernah mendengar nama-nama Gojek dan Tokopedia. Gojek boleh dikatakan pesaing terdekat kepada perkhidmatan seru-pandu dan penghantaran barang Grab, manakala Tokopedia ialah pasaraya digital terbesar di Indonesia.
Hari ini, kedua-dua syarikat ini telah mengumumkan bahawa mereka akan bergabung untuk membentuk GoTo, yang boleh dinamakan sebagai konglomerat teknologi yang terbesar di Asia Tenggara. Syarikat baru ini akan dikepalai empat eksekutif daripada kedua-dua syarikat ini.
Andre Soelistyo akan menjadi CEO Kumpulan GoTo dan juga GoTo Financial, Patrick Cao akan menjadi Presiden Kumpulan GoTo, manakala pengasas Gojek dan Tokopedia, Kevin Aluwi dan William Tanuwijaya akan mengekalkan kedudukan mereka sebagai CEO kedua-dua syarikat ini.
Gabungan ini dilihat sebagai sesuatu yang besar khususnya untuk ekosistem teknologi di Indonesia kerana ini bermakna bahawa GoTo kini memegang majoriti pegangan pasaran dalam sektor seru-pandu, penghantaran barangan, kewangan digital dan juga ruang atas-talian di Indonesia.
Menurut laporan TechCrunch, dengan gabungan ini, GoTo mempunyai 100 juta pengguna bulanan yang aktif, 11 juta penjual barangan bulanan yang aktif dan seramai 2 juta pemandu aktif setakat Disember tahun lepas. Lebih menarik lagi, gabungan ekosistem GoTo sahaja merangkumi 2 peratus daripada produk domestik kasar Indonesia.
Setakat ini, apa yang diketahui mengenai pelan akan datang GoTo ialah kedua-dua syarikat ini masih lagi akan digerakkan sebagai entiti masing-masing.