Pandang Pertama Realme Narzo 30 – Rambut Lain-Lain, Hati Sama Realme

Diterbitkan pada Mei 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Realme sebelum ini sedia hadir dengan penawaran siri Narzo yang diiklankan sebagai peranti yang memfokuskan kepada permainan mudah alih tetapi ditawarkan pada harga yang berpatutan. Sehingga kini, terdapat kira-kira tiga model berbeza telah diperkenalkan yang terdiri dengan Realme Narzo 20, Realme Narzo 20 Pro dan Realme Narzo 30A. Namun tidak terhenti di situ sahaja, mereka kini hadir dengan penawaran sebuah lagi model baharu iaitu Realme Narzo 30. Lebih menariknya lagi, peranti pintar masih belum dilancarkan di mana-mana pasaran lain dan Malaysia menjadi negara terawal untuk pelancarannya.

Realme Narzo 30 merupakan sebuah lagi peranti pintar dengan janaan cip MediaTek Helio G95 di Malaysia. Secara tidak langsung, kehadirannya di sini turut mampu memberi atau menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna hari ini. Agak-agaknya apa lagi penawaran yang disediakan oleh Realme untuk model terkininya ini? Bagaimana dengan tampilan kemasannya? Selain daripada sensor utama 48-Megapixel, apakah jenis sensor lain yang menyokongnya? Adakah sokongan memori dan storan dalamannya memadai untuk kebanyakan pengguna hari ini? Usah khuatir, segala persoalan ini bakal terjawab menerusi artikel ini. Jadi, teruskan membaca sehingga ke penghujungnya.


Spesifikasi Ringkas Peranti :   

Realme Narzo 30
Skrin6.5″ FHD+ (2400 x 1080), 90Hz
PemprosesMediaTek Helio G95
Cip2 x 2.05 GHz Cortex-A76
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G76 MC4
RAM6GB (Unit ulasan diterima)
Muatan Dalaman128GB (UFS 2.1) (Unit ulasan diterima)
Kamera Utama48 MP ( f/1.8) – (Utama)
2 MP ( f/2.4 ) – (B&W)
2 MP ( f/2.4 ) – (Makro)
Kamera Swafoto16 MP (f/2.1) Sony IMX471
Bateri5,000mAh + 30W Dart Charge
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MicroSD
NFCTiada
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi & Imbasan Wajah
Harga JualanRM799

Rekaan :

Pertama sekali, mari kita lihat pada rekaan fizikalnya terlebih dahulu. Majoriti panel belakang peranti pintar ini masih lagi diperbuat daripada binaan jenis polikarbonat. Kemudian, ia turut dikemaskan dengan pemilihan skema warna yang baik. Ini mungkin salah satu cara yang dirasakan baik bagi menyerlahkan lagi rupa luaran peranti pintar ini sendiri. Kalau perasan, kemasan pada panel belakangnya turut disertakan dengan satu jalur berkilat dan kelihatan agak menyerlah. Melaluinya, anda juga akan perasan ia mampu memberikan efek kilauan dengan tekstur seakan huruf V yang menarik. Kewujudannya akan lebih disedari apabila anda melihatnya pada perspektif yang berbeza.

Cuma seperkara yang kurang menarik mengenainya, kemasan panel belakangnya terasa agak licin. Tidak habis di situ, ia juga terlalu mudah memerangkap kotoran. Faham-faham sahajalah maksud kami ini – sudah tentulah kotoran cap jari. Namun begitu, anda tidak perlu terlalu risau mengenainya kerana pemasalahan sebegini boleh diatasi dengan memakai aksesori tambahan. Misalnya,  kerangka silikon nipis yang diberikan secara percuma oleh Realme di dalam kotak pembelian. Jika mahukan kerangka pelindung yang lebih baik, anda perlulah mengeluarkan sedikit belanja untuk mendapatkannya sendiri.

Mengulas lebih lanjut mengenai kemasan, kami juga merasakan konsepnya nampak agak menarik berbanding sejumlah model yang sebelum ini. Ia adalah satu perkara yang boleh dipuji memandangkan apa yang ditampilkan adalah satu gaya yang ringkas. Pada masa sama, ia dirasakan mampu untuk menjadi satu tarikan penting dalam menyerlahkan karakter si pemakai itu sendiri.

Mungkin anda sendiri boleh fahami apa yang cuba kami sampaikan di sini. Sebabnya, kalau anda ikuti setiap satu daripada ulasan berkaitan peranti Realme di Amanz. Komen negatif pernah kami berikan kepada beberapa peranti mereka yang hadir dengan kemasan tulisan ‘DARE TO LEAP’ besar pada panel belakang. Kami kurang menggemari kemasan sebegitu kerana saiz font yang  terlalu besar menjadikan panel belakangnya nampak sarat.

Realme Narzo 30 didatangkan dalam dua pilihan warna menarik. Melaluinya, kita ada Realme Narzo 30 dalam warna Racing Blue seperti unit yang kami terima. Seterusnya, satu lagi adalah Realme Narzo 30 dengan warna Racing Silver – bersesuaian buat anda yang mahu tampil gaya lebih kasual tetapi tetap anggun.

Sentuh mengenai susun atur butang standard, kesemuanya direka dengan baik dan diletakkan pada posisi yang mudah dicapai. Melaluinya, anda boleh temui butang kuasa pada sisi kanan. Butang kuasa ini turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari untuk menyahkunci peranti pintar ini. Dari segi prestasi, ia dirasakan cukup baik dan pantas. Di mana, peranti pintar akan dibuka dengan segera sebaik sahaja anda meletakkan jari pada pengimbas ini. Bagaimanapun, anda perlu pastikan jari sentiasa bersih dan kering kerana adakalanya ia dilihat gagal untuk berfungsi pada jari yang basah – misalnya basah berpunca daripada peluh.

Kemudian, butang laras suara dan slot kad sim pula diletakkan pada sisi kiri. Melaluinya, slot ini menawarkan sokongan dua SIM berbeza sepenuhnya tanpa perlu dikongsikan dengan kad microSD. Seterusnya, bahagian bawahnya dimuatkan dengan pembesar suara sejenis mono, port sambungan USB Type-C dan akses mudah kepada anda untuk mendengar muzik menerusi bicu audio 3.5mm.


Paparan :

Di bahagian hadapan, Realme Narzo 30 dibekalkan skrin bersaiz 6.5-inci yang dipadankan dengan resolusi sehingga FHD+ dan kadar segar semula 90Hz. Peranti pintar ini juga kelihatan model sebabnya tiada sebarang takuk yang disertakan. Sebaliknya, ia menggunakan skrin berlubang dengan sokongan lensa swafoto tunggal.

Secara keseluruhannya, ia sememangnya nampak cukup kemas dengan saiz bezel yang seimbang pada bahagian sisi dan atas peranti. Bagaimanapun, tidak pada bahagian bawah. Sebabnya, ia masih mempunyai rekaan bezel yang agak tebal pada bahagian berkenaan. Ia bagaimanapun, tidak dianggap sebagai satu masalah yang besar kerana kebanyakan peranti pintar lain dalam kelas yang sama turut memiliki saiz bezel sebegini.

Kemudian, sekali lagi anda tidak usah terlalu risau mengenainya. Kami boleh memberi jaminan kewujudannya tidak terlalu menganggu dan masih baik-baik sahaja untuk penggunaan masa panjang. Dengan saiz sebesar ini juga, pengalaman pengguna juga terasa menyeronokkan sahaja kerana ia mudah sahaja untuk digenggam. Lebih pentingnya lagi, ia juga selesa untuk digunakan dengan sebelah tangan – yang mana, kesemua permukaan pada skin boleh sahaja diakses dengan baik tanpa sebarang masalah.

Bercakap soal kualiti, aspek visual pada peranti pintar ini berada di tahap memuaskan. Kami boleh katakan kualiti skrinnya cukup terang dan penghasilan warna juga kelihatan menyerlah. Berbalik kepada beberapa perenggan di atas, kami sedia mengatakan panel hadapannya turut menyokong kadar segar semua sehingga 90Hz. Pada penggunaan biasa, ia sememangnya nampak lancar sahaja. Tetapi, ia sudah semestinya akan menggunakan bateri yang banyak.

Tidak terhenti di situ sahaja, anda turut disajikan dengan pilihan sama ada ingin menggunakan skrin 60Hz atau 90Hz yang diubah menerusi tetapan. Dalam pada itu, turut adanya satu lagi tetapan dinamakan sebagai Auto-select – yang mana ia akan membolehkan sokongan kadar segar semula berubah secara automatik mengikut keperluan sesuatu aplikasi atau kandungan itu sendiri. Secara tidak langsung, keadaan inilebih membantu dalam mengurangkan penggunaan bateri. Jadinya, jangka hayat bateri akan lebih panjang.


Antaramuka & Pengalaman Penggunaan :

Realme Narzo 30 dijana dengan sistem operasi terkini Android 11. Bersama-sama dengannya, ia dibina berasaskan antaramuka Realme UI 2.0. Peranti pintar ini kemudiannya dipadankan dengan pemproses lapan teras MediaTek Helio G95. Seterusnya, memori sebesar 6GB RAM bersama storan dalaman 128GB UFS 2.1 turut digunakan pada unit Realme Narzo 30 yang kami terima. Bagi mana-mana pengguna yang mahukan storan lebih besar, Realme Narzo 30 turut menyokong fungsi penambahan storan menerusi kad microSD sehingga 256GB.

Pada penggunaan harian biasa, peranti pintar dilihat mampu berfungsi dengan baik sekali. Kami tidak berhadapan dengan sebarang isu melampau mahupun masalah aplikasi yang gagal berfungsi sepanjang penggunaan untuk penulisan artikel ini. Kemudian, ia juga mampu menjalankan kebanyakan tugasan harian dengan mudah – ini termasuklah menatal media sosial, menonton video di Youtube dan lain-lain. Proses membuka dan menukar aplikasi yang dimuat-turut turut dapat sahaja dibuat dalam masa yang singkat.

Meskipun begitu, seperkara yang kami mula perasan adalah peranti pintar ini akan menjadi agak memanas untuk sesi permainan kira-kira 20 minit dan keatas. Perlu kami akui, kesan panas ini juga adakalanya sehingga menimbulkan sedikit rasa kurang selesa untuk memengangnya. Bagi mengulas mengenai pengalaman permua pula, prestasi berada di tahap yang baik-baik. Akan tetapi, pengalaman permainan akan mula tersangkut apabila peranti pintar mula memanas.

Melaluinya, permainan Alsphat 9 boleh sahaja dimainkan dengan baik. Melaluinya setiap sentuhan jari juga mampu dikesan dengan baik sahaja. Beralih kepada COD dan PUBG, ianya boleh dimainkan dengan beberapa tetapan berbeza. Misalnya, tetapan asal untuk grafik COD telah ditetapkan pada ‘High’ dan kadar bingkai ‘High’. Walau bagaimanapun, tetapan grafik masih boleh diubah secara manual sehingga ‘Very High’. Kemudian, kadar bingkai pula boleh diubah mencecah ‘Max’. Namun bagitu, anda hanya boleh memilih kadar bingkai ‘Max’ sekiranya memainkan permainan pada grafik Low, Medium dan High.

Seterusnya untuk PUBG pula. Tetapan lalai adalah pada grafik tertinggi ‘HD’ dengan kadar bingkai ‘High’. Seperti COD tadi, tetapan grafik ini turut boleh diubah secara manual. Manakala, tetapan kadar bingkai pula boleh mencapai Ultra. Meskipun begitu, tetapan Ultra ini hanya boleh dipilih sekiranya anda memainkan permainan pada grafik Smooth dan balanced sahaja.

Sebelum terlupa, kami juga sempat menguji kebolehan kualiti untuk panggilan telefon. Di mana, kesemua panggilan yang dibuat boleh didengari dengan jelas. Bahkan, pihak penerima turut menyatakan perkara yang sama – di mana, mereka turut boleh mendengar tiap bait kata-kata kami dengan jelas. Jadinya, boleh dikatakan tiada masalah melampau yang ditemui untuk setiap panggilan telefon yang dibuat.


Kamera :

Bergerak kepada tetapan kamera, Realme Narzo 30 menggunakan sitem tri-kamera di belakang. Melaluinya, ia dibekalkan dengan 48-Megapixel untuk sensor utama, 2-Megapixel untuk tujuan macro dan 2-Megapixel lagi untuk B&W. Kemudian, gambar swafoto pula anda boleh mengambilnya menerusi kamera hadapan 16-Megapixel dengan sensor Sony IMX471. Dari segi fungsi, ia turut menawarkan sejumlah mod kamera yang pelbagai guna – seperti Ultra Macro, Ultra 48MP Mode, Super Nightscape, Portrait Mode & lain-lain.

Hasil cubaan kami mendapati kameranya mampu untuk berfungsi dengan baik. Melaluinya, ia mampu memberikan hasil yang baik tetapi dengan syarat – gambar haruslah diambil dalam keadaan pencahayan yang cukup. Melaluinya, ia dapat menghasilkan gambar yang nampak bagus, warna yang terang dan tidak kelihatan pudar. Pada masa sama, kontras juga mencukupi dan kebanyakan gambar mampu dihasilkan dengan butiran yang baik.

Namun begitu, kesemua ini bagaimanapun tidak berlaku pada hasil gambar yang diambil dalam pencahayaan rendah. Melaluinya, hasil gambar dilihat mudah menampakkan kesan hingar dan butiran pula hampir keseluruhannya kurang memuaskan. Dari segi kebolehan rakaman video, Realme Narzo 30 mampu merakam dengan tetapan tertinggi sehingga 4K. Di samping itu, ia turut menyokong mod penstabilan Realme sendiri iaitu UIS Video Stabilization.


Bateri :

Bagaimana pula dengan kapasiti bateri? Realme Narzo 30 mempunyai sokongan bateri sebesar 5000mAh. Tidak habis di situ, ia turut dibekalkan sokongan pengecasan 30W Dart Charge bertujuan menyingkatkan lagi masa pengecasan semula. Realme mengiklankan bateri 5000mAh pada Realme Narzo 30 boleh dicas penuh mencapai 100% dalam hanya 65 minit sahaja. Bagaimanapun, hasil ujian kami sendiri mendapati pengecasan penuh peranti mengambil masa kira-kira 72 minit. Jadinya, ia boleh dikatakan bukanlah satu dakwaan yang tidak berasas tetapi hampir tepat.

Dengan saiz bateri 5000mAh juga, kami mampu mendapatkan bacaan SOT mencapai 10 jam – tapi ini adalah catatan untuk penggunaan harian yang biasa. Misalnya, kami menggunakannya untuk menangkap gambar, menonton video di video secara berterusan, menatal media sosial seperti Facebook dan lain-lain. Apabila kami menggunakannya dengan lebih kerap bersama tetapan skrin 90Hz – bacaan SOT memperlihatkan perubahan sedikit. Jelas menunjukkan ianya bergantung kepada penggunaan sendiri.


Kesimpulan :

Lain luaran tapi dalaman yang seakan sama. Pasti anda juga perasan mengapa kami berkata sebegini bukan? Walau bagaimanapun, masih terdapat bahagian dan penawaran pada Realme Narzo yang boleh dipuji. Salah satu daripadanya adalah kemasan dengan konsep gaya ringkas. Ia juga sebuah peranti yang cukup selesa dipegang. Cuma kurangnya adalah pada panel yang mudah memerangkap kotoran. Dengan harga jualan RM799, adakah anda akan memilikinya sebuah? Jangan lupa kongsikan dengan kami di ruangan komen di bawah. Sebelum terlupa, anda juga masih boleh mendapatkannya pada harga promosi lebih rendah iaitu RM699 sewaktu jualan pertamanya yang berlangsung pada 20 Mei 2021 di Shopee.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami