Carian
11 Finalis Program Pemecut Alpha Startups 2021 Diumumkan – Pembentangan Pada 22 Mei Ini
May 18, 2021 Amy Maizuraa

Seperti yang diketahui, program Alpha Startups Digital Accelerator (ASDA) 2021 telah berlangsung sejak awal bulan April yang lalu. Bagaimanapun, program ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu dan ianya adalah antara program yang diadakan secara tahunan serta fleksibel setakat ini.

Fleksibel dalam konteks ini bermakna ia tidak terlalu tegas dari segi syarat penyertaan program. Pada masa sama, objektif utamanya lebih kepada pengharapan untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang ingin berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

Untuk tahun ini, ia menyaksikan seramai 105 peserta telah mengambil bahagian dan kesemua mereka telah merancang strategi sehabis baik bagi mendapatkan hasil yang besar atau terbaik. Program yang berlangsung selama lima minggu ini turut membantu kesemua finalis mempelajari pelbagai perkara berkaitan perniagaan – bermulah daripada ciri-ciri produk sehingga cara menawan hati pelanggan yang menjadi sasaran.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 finalis kini telah disenarai pendek. Sekaligus melayakkan kesemua yang terpilih untuk tampil mempersembahkan produk dengan idea kreatif kepada para juri di acara kemuncak, Demo Day kelak. Senarai finalis yang terpilih adalah seperti berikut :

  • Altum
  • CULT CREATIVE
  • ejenkita
  • GoGerak
  • Hawkr
  • Arus Oil (MyProtech Sdn Bhd)
  • otofacts.com
  • SparkFit
  • Supageneous.asia
  • TrinityEco
  • Usku Technologies

Dengan ini, kesemua finalis bakal berentap bagi mengejar kejuaraan dalam program ini. Di mana, dua finalis tunas rintis terbaik akan berpeluang membawa hadiah lumayan berupa pembiayaan bernilai RM50,000 untuk sokongan pemasaran. Di samping beberapa faedah menarik lain termasuklah kredit digital bernilai sehingga USD86,000 daripada AWS, FreshWorks, Airtable dan WOBB.

Kesemua finalis juga akan diadili secara seratus peratus oleh barisan juri professional dari beberapa syarikat berbeza – seperti 1337 Ventures, Amanz Media dan MDEC. Produk akhir kelak akan dipilih berdasarkan keaslian serta kreativiti idea masing-masing. Sekali lagi, jutaan tahniah diucapkan buat kesemua 11 finalis terpilih. Acara Demo Day bakal berlangsung pada 22 Mei 2021 bermula jam 2 – 5 petang. Ia boleh diakses menerusi pautan di bawah bagi sama-sama menunjukkan sokongan buat kesemua finalis.

Komen