Sebelum ini, kami di Amanz ada melaporkan mengenai rekaan fizikal untuk Sharp Aquos R6 yang tertiris. Melaluinya, ia turut menunjukkan peranti pintar ini akan menggunakan sistem kamera Leica. Ternyata ianya benar dan Sharp Aquos R6 kini telah diperkenalkan secara rasmi di Jepun.

Antara tarikan utamanya adalah sokongan sensor 1-inci sebesar 20.2-Megapixel bersama lensa Leica dengan bukaan sehingga f/1.9. Kemudian, ianya juga digabungkan dengan sensor ToF. Selain itu, ia turut menggunakan sistem imbasan cap jari dengan teknologi Qualcomm 3D Sonic Max yang mempunyai ruang pengesanan lebih luas berbanding pengimbas konvensional.
Kemudiannya, Sharp Aquos R6 turut dipadankan dengan skrin bersaiz 6.6-inci WUXGA+ (1260 × 2,730 piksel) Pro IGZO OLED. Menariknya di sini, paparannya di sini turut menyokong kadar segar semula yang boleh diubah secara automatik sehingga 240Hz. Menurut Sharp, ia mampu menjanjikan prestasi penjimatan tenaga yang rendah padanya.

Di samping itu, Sharp Aquos R6 juga dijana dengan cip pemproses Snapdragon 888, memori 12GB RAM, storan dalaman 128GB dan bateri sebesar 5000mAh. Spesifikasi lain termasuk – penarafan IPX5 / IPX8 / IP6X, sokongan bluetooth 5.2, NFC dan lain-lain. Sharp Aquos R6 akan mula dipasarkan di Jepun mulai pertengahan Jun 2021.