Xiaomi kini dilihat telah memfailkan paten untuk rekaan telefon modular. Untuk makluman, dengan rekaan telefon modular, ia akan memudahkan naik-taraf komponen dilakukan mengikut pilihan pengguna, tanpa perlu menggantikan keseluruhan telefon pintar berkenaan.
Sebelum ini, salah satu projek popular memfokuskan modular adalah Project Ara. Namun, ia tidak direalisasikan sepenuhnya. Beberapa tahun lepas juga, kita telah melihat LG mengkomersilkan penawaran mereka, tetapi projek berkenaan tidak disokong selepas generasi kedua.
Apa pun, untuk Xiaomi, ia tidak diketahui sama ada mereka serius ingin mengeluarkannya, atau lebih kepada memfailkan paten pembangunan teknologi untuk penggunaan masa hadapan. Apatah lagi, dengan lebih banyak syarikat melihat kepada pembangunan lestari dan tidak membazirkan komponen.

Melalui gambaran paten yang diperlihatkan, ia membolehkan pengguna mengubah komponen modular untuk kamera, audio, dan beberapa komponen yang lain. Sebagai contoh, sekiranya inginkan keupayaan kamera berbeza, pengguna boleh menaik-taraf atau mengubah kamera dan menikmatinya pada peranti sama.
Seperti biasa, ia agak menarik untuk melihat perkembangan ini. Xiaomi sedia hadir dengan peranti konsep yang menarik dibawah siri Mi Mix, dan sama-sama kita nantikan pengenalan peranti modular ini direalisasikan.