Papan Kekunci ASUS ROG Claymore II Dan Siri Tetikus ROG Gladius III Kini Ditawarkan Pada Harga Permulaan RM299

Diterbitkan pada Mei 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika anda memiliki sebuah komputer desktop ataupun komputer riba gaming yang berkuasa, anda pastinya mahukan aksesori-aksesori game yang terbaik juga. ASUS Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tiga daripada aksesori gaming terbaru mereka, iaitu ASUS ROG Claymore II dan juga siri tetikus ROG Gladius III kini boleh didapati di pasaran tempatan.

Bermula dengan papan kekunci ROG Claymore II, ia adalah sebuah papan kekunci bersaiz penuh dengan fungsi menarik dimana bahagian numpad disambung ke bahagian utama papan kekunci menggunakan magnet. Ini bermakna bahawa bergantung kepada cara penggunaan, anda boleh mencantumnya di bahagian kiri ataupun kanan papan kekunci dengan cepat dan mudah, ataupun menggunakan papan kekunci ini sebagai mod tenkeyless.

Papan kekunci ini juga hadir dengan sejumlah ciri-ciri tambahan seperti sokongan untuk sambungan nirwayar RF 2.4GHz, kekunci yang boleh diubahsuai fungsinya, dan juga dail audio yang memudahkan pengguna untuk mengubahsuai kekuatan audio yang dimainkan.

Papan kekunci ini hadir dengan pilihan suis optical-mechanical ROG RX Blue (clicky) atau RX Red (linear) bergantung kepada apa yang anda lebih selesa atau gemar gunakan. Suis-suis ini bukan sahaja hadir dengan input yang pantas, tetapi juga mempunyai jangka-hayat 100 juta tekanan.

Untuk memudahkan akses kepada papan kekunci ini, ia hadir dengan kabel USB-C ke USB-A yang boleh dicabut untuk memudahkan pemasangan aksesori yang lebih kemas.

Beralih kepada ASUS ROG Gladius III pula, tetikus gaming ini hadir dengan dua model, iaitu model berwayar dan juga model nirwayar. Untuk model nirwayar, ia hadir dengan pilihan sambungan RF 2.4GHz ataupun Bluetooth LE bergantung kepada pilihan pengguna. Untuk mengecas tetikus ini, anda boleh menggunakan kabel USB-C ke USB-A yang dibekalkan.

Julat DPI tetikus ROG Gladius III ini adalah sekitar 100-260,000 DPI, dan hadir dengan lengah-masa hampir sifar dari segi pergerakan tetikus dan output di paparan. Lebih menarik lagi, aturan fungsi butang tetikus Gladius III ini boleh diubahsuai melalui perisian, dan ia akan disimpan terus dalam tetikus ini, walaupun ia digunakan pada komputer lain.

Fungsi paling menarik pada tetikus ini pula ialah kebolehan untuk kekuncinya diubahsuai menggunakan suis opto-micro 5-pin Omron untuk keselesaan pengguna.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua papan kekunci ROG Claymore II dan ROG Gladius III ini sudahpun tiba di pasaran pada harga tanda harga berikut:

  • ROG Claymore III – RM999
  • ROG Gladius III (berwayar) – RM299
  • ROG Gladius III (nirwayar) – RM439

Tetapi, jika anda pra-tempah kedua-dua aksesori ini dalam satu set, anda boleh mendapatkan kedua-dua aksesori ini pada harga RM1299, dimana anda juga akan menerima sebuah pad tetikus ROG secara percuma. Pra-tempahan ini akan dibuka pada 22 Mei sehingga 25 Mei kelak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami