Spesifikasi Siri AMD Radeon RX 6600 Tertiris – Memfokuskan Kepada Gaming Kelas Pertengahan?

Diterbitkan pada Mei 19, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada tahun lepas dan awal tahun ini, AMD telah melancarkan sejumlah kad grafik mereka, termasuklah AMD Radeon RX 6800, 6800 XT, 6900 XT dan RX 6700XT. Kesemua kad-kad grafik ini memperlihatkan prestasi yang agak berkuasa, dan mampu bersaing dengan pilihan GPU NVIDIA GeForce RTX 3000 yang boleh menggerakkan permainan komputer pada resolusi QHD dan keatas pada kadar segar semula tinggi.

Kebelakangan ini, butiran khusus mengenai kad grafik kelas pertengahan AMD pula, iaitu siri AMD Radeon RX 6600 melalui Igor’s Lab. Laman web tersebut memperlihatkan spesifikasi dalaman kad grafik ini, mengatakan ia dikuasakan menggunakan cip grafik Navi 23, iaitu cip grafik RDNA2 yang mempunyai prestasi yang lebih rendah berbanding dengan Navi 21 dan Navi 22 yang digunakan siri kad grafik AMD Radeon RX 6000 yang lebih tinggi.

Igor’s Lab turut melaporkan bahawa AMD akan memperkenalkan dua kad grafik dengan cip grafik ini, iaitu AMD Radeon RX 6600 XT dan AMD Radeon RX 6600 dimana perbezaan yang paling ketara dapat dilihat melalui nilai stream processor kad-kad grafik ini. Radeon RX 6600 XT akan dilengkapi dengan 2048 unit stream processor, manakala RX 6600 akan dilengkapi 1792 unit.

Dari segi memori pula, kedua-dua kad grafik ini nampaknya bakal hadir dengan memori GDDR6 sebanyak 8GB, walaupun secara teknikalnya, cipset ini mampu menyokong memori sebanyak16GB.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, siri kad grafik AMD Radeon RX 6600 adalah sebuah siri kad grafik kelas pertengahan, dan ia dijangka mampu menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi Full HD dan kadar segar semula yang tinggi.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah AMD merancang untuk melancarkan kad grafik ini, dan samada ia hanya akan hadir dengan rekaan desktop sahaja ataupun untuk komputer riba juga.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami