Masalah kekurangan cip mula dirasai bukan sahaja oleh kesemua pengeluar peranti pintar tetapi juga mula dirasai industri automotif. Permintaan yang tinggi ke atas cip pemproses untuk peranti yang digunakan ketika pandemik menyumbang kepada masalah yang dilihat semakin meruncing. Kini Young Liu, pengerusi Foxconn berkata masalah ini mungkin berterusan sehingga suku kedua 2022.
Pada waktu ini Foxconn dilaporkan beroperasi dengan komponen dipesan setahun lebih awal bagi mengelakkan berlakunya gangguan ke atas pengeluaran. Walaupun kenyataan pengerusi Foxconn ini merisaukan, ia masih lebih baik berbanding ramalan firma Forrester yang mengatakan kekurangan cip akan berterusan sehingga 2023.
Sebagai pengeluar kepada Apple, telahpun timbul laporan berlaku gangguan ke atas pengeluaran iPad Pro baharu dan kelewatan ke atas pengeluar MacBook dengan skrin mini-LED tahun ini yang menyebabkan ia mungkin dilewatkan.