Cari @ Amanz

Di Google I/O pagi ini Project Starline diperlihatkan buat julung kalinya. Sepanjang pandemik kami yakin ramai sudah bosan dengan sesi telesidang yang panjang dengan paparan dua dimensi yang membuatkan interaksi tidak terasa semula jadi. Starline ingin menyelesaikan isu ini dengan membuatkan sesi telesidang terasa seperti insan yang dihubungi kelihatan lebih realistik.

Teknologi tiga dimensi, video pada resolusi tinggi dan sokongan audio spatial membezakan Starline dengan teknologi telesidang sedia ada. Kamera khas memetakan kepala, wajah dan bahagian tubuh pemanggil secara tiga dimensi. Jadi apabila panggilan video dilakukan dan anda bergerak, video yang ditonton bergerak menunjukkan seperti insan di skrin benar-benar berada di hadapan pemanggil.

Idea menghasilkan Starline timbul kerana pandemik menyebabkan ramai tidak bertemu sanak saudara dan akan taulan untuk masa yang lama. Dengan teknologi ini, kerinduan bertemu secara fizikal sedikit sebanyak terubat kerana panggilan video yang kelihatan jauh lebih semula jadi berbanding teknologi semasa.

Starline masih lagi di peringkat ujian menggunakan perkakasan khas. Google sedang cuba menjadikan Starline sebuah produk sebenar yang kelak boleh digunakan oleh semua pada harga yang lebih mampu milik. Mereka melihat teknologi ini berguna untuk bidang perubatan, perniagaan dan media.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd