Carian
Honor Mengacah Pengumuman Kerjasama Dengan Qualcomm Tidak Lama Lagi
May 19, 2021 Amy Maizuraa

Seperti sedia maklum, Honor kini tidak lagi berada di bawah naungan Huawei dan mereka menjadi jenama bebas yang berdiri sendiri. Rentetan daripada itu, jenama ini mula mengorak langkah dengan cuba mengikat kerjasama bersama pelbagai penyedia perkakas dunia termasuklah Qualcomm.

Berita berhubung kerjasama kedua-dua belah pihak ini juga telah agak lama kedengaran. Bahkan, pihak Qualcomm sendiri pernah menyatakan mereka menyambut baik kemunculan rakan kongsi baru kerana ia mampu memberi impak positif untuk pasaran sedia ada.

Memetik ciapan Twitter terkini Honor dan Qualcomm sebentar tadi, mereka telah mula mengacah mengenai pengumuman kerjasama ini secara rasmi tidak lama lagi. Ianya dijangka akan diumumkan ketika acara Qualcomm 5G Summit 2021 yang berlangsung sekitar 19 – 20 Mei ini. Pada masa sama, kedua-dua pihak turut menyatakan bahawa mereka akan memberi kemaskini mengenainya dengan lebih lanjut tidak lama lagi.

Melalui kerjasama ini, kita boleh menyasarkan lebih banyak peranti Honor kelak akan dijana dengan cip pemproses daripada Qualcomm – termasuk variasi yang dijana dengan Snapdragon 888. Bahkan, dakwaan mengenai Honor 50 Pro Plus yang mungkin dilengkapi cip berkenaan turut telah kedengaran tidak lama terdahulu. Sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut.

Komen