Semalam Samsung telah memperlihatkan video bagaimana empat peranti konsep terkini mereka boleh digunakan di dunia sebenar. Antara konsep paling menarik ialah peranti dengan skrin boleh gulung yang berubah saiz skrinnya dengan tubuh membesar ke sisi seperti perut anda selepas menyental sebatang lemang.

Peranti ini mungkin akan menggunakan nama Samsung Galaxy Z Roll apabila dilancarkan kelak. Tanda dagang untuk nama ini telah difailkan oleh Samsung ke EUIPO dan ditemui oleh laman Lets Go Digital. Dengan tahun ini Samsung memberikan perhatian kepada Z Fllip2 dan Z Fold3, besar kemungkinan Z Roll akan hanya dilancarkan pada tahun 2022. Jika ini berlaku, Samsung dapat memintas Oppo dan LG (yang tidak lagi wujud) untuk melancarkan peranti skrin boleh-gulung walaupun mereka terlebih dahulu menunjukkan prototaip.
Turut mungkin dilancarkan tahun hadapan ialah S Foldable yang merupakan peranti dengan skrin tri-lipatan. Walaupun mendapat perhatian ramai, jualan peranti skrin boleh lipat masih lagi rendah kerana harga jualannya masih di luar kemampuan kebanyakan pengguna.