Cari @ Amanz

Rangkaian aksesori audio dibawah keluaran Realme terdiri dengan pelbagai jenis bentuk. Ini termasuklah fon telinga dengan rekaan berwayar, nirwayar atau neckband. Baru-baru ini, mereka telah menjadualkan pelancaran untuk fon telinga Realme Buds Wireless 2 Neo di Malaysia pada 20 Mei ini. Namun begitu, ia nampaknya telah membuat kemunculan rasminya lebih awal di pasaran Sri Lanka terlebih dahulu.

Dari segi rekaan, Realme Buds Wireless 2 Neo masih menyerupai pendahulunya dengan rekaan gelung leher. Selain itu, ia juga dilengkapi pemandu audio sebesar 11.2mm dan kawalan magnetik yang membolehkan kedua-dua fon telinga bersambung apabila ditanggalkan. Seterusnya, aksesori audio ini turut hadir dengan sejumlah spesifikasi menarik lain seperti pembatalan hingar elektronik (ENC), tambatan pantas menerusi bluetooth 5.0, pelindungan IPX4 dan mod permainan latensi 88ms.

Kapasiti bateri tidak dikongsi, namun ia dikatakan mampu beroperasi sehingga 17 jam dengan sekali pengecasan penuh. Melaluinya, pengecasan selama 10 minit mampu menawarkan main balik sehingga 120 minit. Sebelum terlupa, port pengecasna yang disertakan adalah sejenis USB Type-C. Realme Buds Wireless 2 Neo didatangkn dalam tiga pilihan warna seperti hitam, biru dan hijau. Di Sri Lanka, fon telinga ini dijual pada harga Rs. 8,999 (~RM188) untuk seunit.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd