Bersama-sama dengan pelancaran Redmi Note 10 5G dan Redmi Note 10S, Xiaomi Malaysia turut melancarkan dua televisyen pintar Android TV buat pertama kali di Malaysia. Ini ialah kemuncak teknologi televisyen yang ditawarkan oleh Xiaomi kerana ia dilengkapi skrin 75″ berteknologi QLED, 120Hz, dan sokongan resolusi 4K.
Xiaomi Mi TV Q1 75″

Dengan teknologi QLED, warna yang lebih hitam dapat dinikmati bersama dengan hampir 200 zon lampu belakang untuk warna yang lebih tepat. Ia menggunakan sistem operasi Android TV 10 dengan cip pemproses MediaTek MT 9611. Apa yang kami rasakan menarik ialah sokongan dua format HDR iaitu Dolby Vision dan HDR10+. Xiaomi menyasarkan untuk bersaing dengan Samsung dengan harga jualan jauh lebih murah.

Secara lazimnya televisyen pintar di pasaran hanya menawarkan salah satu dari dua format HDR popular ini. Pada waktu yang sama televisyen dilengkapi sistem audio 30W yang menyokong pula audio Dolby Audio and DTS-HD. Selain itu pilihan input pula ialah 1x HDMI 2.1, 2x HDM 2.0, LAN, input AV, output optikal, dekoder DTTV dan USB. Dengan ini televisyen ini mampu menyokong mod kadar bingkai tinggi yang disokong konsol Xbox Series X.

Harga jualan televisyen ini adalah RM7,999. Pra-tempahan akan bermula pada 6 Jun tidak lama lagi dan boleh dibeli di kedai fizikal, Senheng, dan Lazada rasmi. Setiap pembelian akan menerima sebulan langganan ke platform penstriman video WeTV dan iQIYI secara percuma.
Memandangkan televisyen Xiaomi turut merupaka hab kawalan peranti berhubung dalam ekosistem mereka, set peranti berhubung bernilai RM1765 akan diberikan secara percuma. Barangan ini adalah Mi Air Purifier Pro H, Mi Vacuum Cleaner Mini, Mi 360° Home Security Camera 2K, Mi Body Composition Scale 2 dan juga Mi Wi-Fi Range Extender Pro.
