Ulasan Redmi Note 10 5G – Lebih Murah Dan Lebih Berkuasa

Diterbitkan pada Mei 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selepas Mi 11, Xiaomi Malaysia membanjiri pasaran tempatan dengan pelbagai peranti dalam siri Redmi pula. Bukan pelbagai siri, tetapi memberi fokus kepada satu sahaja – siri Redmi Note 10. Dua peranti dalam siri ini menerima sambutan yang baik, sehingga kehabisan stok. Jualan semula hanya kembali pulih selepas Mi Fan Festival tempoh hari. Hari ini, Xiaomi melancarkan pula Redmi Note 10 5G dan Redmi Note 10S, alternatif kepada dua yang terawal pada harga murah dengan fokus tersendiri.

Redmi Note 10 5G sudah tiba ke makmal Amanz sejak bulan Ramadan lagi dan saya telah menggunakan peranti ini sebagai peranti kedua. Peranti ini mempunyai pengalaman penggunaan yang amat berbeza dan terasa lancar serta memuaskan untuk peranti dalam kelasnya. Tetapi untuk siapakah peranti ini? Adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Ini adalah ulasan saya.

Spesifikasi Dan Rekaan

Redmi Note 10 5G
Skrin6.5″ LCD, FHD+, 90Hz
PemprosesDimensity 700 (7nm)
Cip2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128 UFS 2.2 (Mikro SD)
Kamera Utama48+2+2 Megapixel f/1.8+f/2.4+f/2.4,
Kamera Swafoto8 Megapixel f/2.0
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 799

Redmi Note 10 5G, menurut Xiaomi Malaysia adalah sebuah peranti 5G mampu milik yang menyasarkan harga jualan bawah RM1000. Mereka ingin pengguna di Malaysia mempunyai pilihan untuk membeli peranti dengan rangkaian 5G pada harga yang tidak mahal. Jadi, spesifikasi lain banyak dikorbankan seperti pada kamera. Dengan fokus kepada 5G, secara tidak langsung peranti ini turut menjadi peranti memfokuskan permua mampu milik.

Skrin adalah 6.5-inci IPS LCD sahaja, tetapi Xiaomi menyertakan sokongan kadar segar semula 90Hz AdaptiveSync serta menyokong resolusi FHD+. Peranti dijana dengan cip MediaTek Dimensity 700 yang terbaru, di mana dakwaan Xiaomi ia setaraf dengan cip Snapdragon siri-8 yang lama dengan kemampuan skor AnTuTu lebih 300K. Dipadankan dengan memori 8GB RAM serta storan dalaman 128GB UFS 2.2.

Pada kamera, peranti ini hanya mempunyai satu sensor yang boleh digunakan untuk fotografi atau videografi – iaitu sensor 48 Megapixel. Walaupun ia adalah tetapan tri-kamera, dua lagi sensor adalah 2MP untuk butiran tambahan sahaja. Jadi ia tiada sokongan zum atau sudut ultra lebar. Untuk swafoto, hanya sensor 8 Megapixel disertakan.

Walaupun peranti ini berada dalam kategori mampu milik, NFC masih disertakan bagi mereka yang ingin melakukan tambatan aksesori atau menggunakan pembayaran nirtunai. Pembesar suara adalah mono, jika rasa tidak seimbang boleh gunakan set fon kepala melalui port bicu audio 3.5mm. Pada sekuriti, pengimbas cap jari di sisi disertakan dan peranti ini tiada perlindungan air seperti IP68.

Bahan binaan adalah plastik, tetapi mempunyai kemasan kusam yang tidak menangkap kotoran cap jari. Ia juga dibia agar ringan di tangan – jadi bateri 5000mAh tidak akan rasa membebankan. Ia juga selesa di tangan, mudah dikendalikan dan tidak ada masalah untuk cuba menggunakan di sebelah tangan sahaja.

Penggunaan Dan Perisian

Skrin walaupun LCD sahaja, Xiaomi ada menyertakan sensor yang sama pada Mi 10T iaitu sensor untuk penentukuran skrin. Dengan sensor ini, kecerahan dan warna skrin akan ditetapkan mengikut keadaan sekeliling. Melalui ciri ini, mata pengguna dilindungi dan tidak akan sakit walaupun menggunakan peranti pada jangka masa panjang. Lubang pada skrin tidak mengganggu pun, tetapi unit saya ini ada pelindung skrin dengan lubang yang tidak jitu – ini yang menjengkelkan saya.

Skrin juga ada sokongan kadar segar semula 90Hz, menjadikan tatalan lebih lancar dan memberi visual yang seakan peranti ini lebih pantas daripada biasa. Walaupun seronok untuk strim dan tonton video di Netflix atau YouTube – pembesar suara mono menjadikan pengalaman kurang seimbang. Bercakap mengenainya, bermain permua tidak akan terasa memuaskan kerana audio.

Bermain permua, agak mengejutkan yang cip peranti ini iaitu Dimensity 700 benar-benar berkuasa. Berkuasa buka dari segi permua, tetapi dari segi pengurusan memori dan pengoptimasian perisian. Untuk kali pertama saya menggunakan peranti ini, ia terasa lebih seronok dan lancar berbanding Poco X3 Pro. Mungkin grafik, Poco akan menang – tetapi untuk tujuan tugasan harian cip ini memang sudah memadai.

Dalam setiap ulasan peranti Poco, Redmi atau Xiaomi – saya akan katakan MIUI 12 seakan tidak matang. Ia tidak begitu baik dan tidak begitu hebat untuk digunakan. Buka kerana iklan sahaja, tetapi kerana pengoptimasian yang menjadikan prestasi tidak konsisten. Walaupun begitu, MIUI 12.0.3 pada Redmi Note 10 5G tiada masalah yang sama.

Pengalaman penggunaan adalah jauh lebih baik, lancar, tiada lengah masa atau sistem tergendala. Saya pasang banyak aplikasi, menguji permua, mengambil gambar, memindahkan fail serta melakukan ujian tanda aras – semuanya memberikan satu pengalaman yang menakjubkan.

Ia lancar, pantas, cantik, kemas dan paling penting sekali lebih selari dengan apa yang ditawarkan pada Android Asli tetapi dengan penambahan yang berguna. Contohnya ialah Second Space, Dual App, Game Turbo dan Lite Mode.

Telefoni Dan GPS

Sehingga hari ini, 5G masih tidak boleh digunakan secara umum di Malaysia. Tetapi, rangkaian 5G boleh membantu sambungan data mudah alih 4G atau 4G+ lebih stabil dan mempunyai prestasi yang konsisten. Saya tiada masalah dengan rangkaian secara keseluruhan pada peranti ini, tetapi hanya ada sedikit masalah pada WiFi yang lambat untuk berhubung dan kerap putus-putus. Saya tidak pasti isu pada perkakasan atau boleh dibaiki dalam perisian. Harap akan ada kemaskini.

GPS juga baik sahaja dan tiada masalah untuk mengunci lokasi. Sedikit perlahan, tetapi ia dijangka untuk peranti dalam kelas ini.

Penanda Aras

Dalam ujian Geekbench 5, Redmi Note 10 5G mencatatkan 494/1417 markah untuk satu teras dan multi teras dan dalam ujian Antutu 3D pula mencatatkan 277,726 markah. Ini adalah skor yang menghampiri dengan Snapdragon 690 yang mana teras utama adalah mirip Snapdragon 732G. Bermakna, cip ini bukan cip yang patut anda pandang rendah – tetapi cip yang patut anda beri peluang.

Saya tidak menyeksa peranti ini dengan bermain permua grafik tinggi. Ini kerana, saya sudah bermain Asphalt 9 dan ia mempunyai sedikit masalah lengah masa pada tetapan maksimum dan kualiti grafik tidak begitu kemas. Tetapi pada tetapan di tengah, ia baik sahaja.

Sedikit peringatan yang unit ulasan saya adalah variasi 4/128 GB yang tidak dijual di Malaysia. Xiaomi hanya menjual variasi 8/128 GB sahaja. Jadi, masalah prestasi atau permua yang saya ada mungkin tidak akan berlaku pada unit jualan rasmi dengan memori lebih tinggi.

Kamera

Sistem kamera pada Redmi Note 10 5G adalah gimik semata-mata. Walaupun ia dikategorikan sebagai peranti dengan kamera tiga lensa, hanya satu sahaja yang boleh diguakan – iaitu 48 Megapixel. Baki dua lagi adalah sensor 2 Megapixel untuk butiran. Tiada sokongan zum, tiada sokongan sudut ultra lebar atau juga OIS. Pada aplikasi kamera juga asas sahaja.

Anda boleh zum, tetapi saya galakka jangan. Kerana anda perlu picit pada skrin dan menjadika hasil gambar terus tidak menarik. Kamera pada peranti seperti ini sebenarnya boleh dijangka kualitinua bagaimana. Mod biasa semuanya baik, boleh menangkap gambar, jika sumber cahaxya mencukupi dan terang. Denga gelap sedikit atau cahaya malap, butiraan tidak dapat dipelihara dan hasil gambar seakan pudar serta warna tidak tajam. Beberapa situasi, hasil potret adalah kemas dan cantik. Tetapi ada situasi ia sukar untuk fokus dan merosakkan hasil keseluruhan yang ingin dirakam.

Seperti dikatakan tadi, kurang sahaja cahaya hasil gambar tidak akan cantik dan mengecewakan. Tidak kiralah anda di luar atau di dalam di bawah lampu. Jumlah cahaya itu kena memuaskan barulah gambar boleh diambil dengan baik. Mod malam pula melalui pasca-proses yang agak teruk, menjadikan hasil imej seakan dicerah begitu sahaja. Benar kata Xiaomi, peranti ini buka peranti untuk fotografi.

Audio

Kemampuan audio adalah sekadar baik-baik sahaja dan tidak begitu memuaskan. Ia tidak memuaskan kerana tidak seimbang sahaja. Kualiti audio sebenarnya enak dan sedap. Audio dilontar cukup lantang, tetapi tidak ada dentuman bass yang baik dan terasa rata sahaja. Tetapi ia bukan isu besar, kerana boleh gunakan alternatif seperti aksesori audio.

Bateri

Xiaomi dan bateri 5000mAh bukan perkara asing. Sejak dari dulu lagi, kalau sebuah peranti Xiaomi dalam kategori kelas pertengahan mempunyai bateri besar – pasti akan memuaskan. Xiaomi ulangi kejayaan tersebut pada Redmi Note 10 5G pula. Sepanjang penggunaan, saya menggunakan peranti ini dalam keadaan yang ringan. Tidak begitu ekstrem, kerana saya tidak jadikan peranti ini sebagai peranti harian – sebaliknya hanya sekadar peranti sandaran.

Untuk media sosial, penggunaan kamera, penstriman video dan muzik – saya boleh dapat lebih 6 jam SOT dengan baki lebih 20%. Kadar penurunan juga adalah perlahan, memberi bukti yang dakwaan Xiaomi ketahanan mencapai dua hari adalah benar. Saya yakin dengan baki 22% boleh bertahan 2-3 jam lagi.

Ini baru pada unit 4GB RAM, bayangkan pada 8GB dengan memori dua kali ganda dan pengurusan memori yang baik. Pasti akan bertahan lebih lama.

Pesaing

Redmi Note 10 5GRealme 8 5GPoco M3 Pro 5G
6.5″ LCD, 1080 x 2400, HD, 90Hz (405 ppi)6.5″ LCD, 1080 x 2400, HD, 90Hz (405 ppi)6.5″ LCD, 1080 x 2400, HD, 90Hz (405 ppi)
Dimensity 700 (7nm)
2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 700 (7nm)
2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 700 (7nm)
2x 2.2 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G57 MC2Mali-G57 MC2Mali-G57 MC2
8 GB LPDRR4X8 GB LPDRR4X8 GB LPDDR4X
128 GB UFS 2.2
Mikro SD sehingga 512GB
128GB UFS 2.1
Mikro SD sehingga 1TB
256 GB UFS 2.1
Mikro SD sehingga 512GB
Kamera Utama
48+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
48+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
48+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.4+f/2.4)
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.0
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.1
Kamera Hadapan
8-Megapixel f/2.0
Tidak kalis airTidak kalir airTidak kalir air
Bicu audioBicu audioBicu audio
Audio MonoAudio MonoAudio Mono
5000mAh (Berwayar 18W)5000mAh (Berwayar 18W)5000mAh (Berwayar 18W)
Harga RM799Sekitar RM1300 di ThaiSekitar RM900 6/128 GB

Kesimpulan

Redmi Note 10 5G seperti yang Xiaomi katakan adalah peranti bajet berkuasa memfokuska 5G sambil mampu bermain permua. Saya tidak nafikan perkara ini, kerana pengalaman penggunaan saya adalah baik sahaja dan tidak begitu mengecewakan. Skrin yang cukup besar, cerah dan lancar. 90Hz yang boleh diterima serta MIUI 12 yang terasa aneh kerana pantas berbanding Redmi Note 10 asal.

Mungkin audio dan fotografi bukan kekuatan peranti ini, tetapi untuk sebuah peranti bawah RM1000 iaitu RM799 sahaja – ia adalah peranti yang berkemampuan. Jika anda ingin cari sebuah peranti yang menyokong 5G, boleh mengendalikan permua serta ketahanan bateri lama – Redmi Note 10 5G adalah peranti untuk anda.

Pro

  • MIUI 12 yang lancar dan tiada masalah seperti peranti Xiaomi lain
  • Prestasi yang memuaskan untuk peranti dalam kelas yang sama
  • Ketahanan bateri yang berpanjangan
  • Binaan ringan dengan kemasan yang selesa

Kontra

  • Kamera hanya ala-kadar.
  • Pelindung skrin terbina mempunyai potongan yang tidak jitu dan menjengkelkan
  • Audio hanya mono

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami