Pandang Pertama Realme Watch 2 Pro – Pro Pada Gaya, Kasual Pada Fungsi

Diterbitkan pada Mei 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak tahun lepas, Realme mula memfokuskan kepada produk peranti boleh pakai, ‘peranti berhubung’ dan pelbagai aksesori lain lagi. Realme mula mengikut jejak langkah Xiaomi yang turut menawarkan pelbagai produk dalam kategori yang sama. Antara yang baru untuk Realme adalah peranti boleh pakai, yang mana mereka memperkenalkan siri Realme Watch.

Realme Watch bukannya jam tangan pintar sebenar, sebaliknya adalah yang asas sahaja seperti Amazfit GTR, Mi Watch, Huawei Watch dan lain-lain. Cuma Realme masih di peringkat awal, kerana seakan menawarkan penjejak kesihatan seakan Amazfit Bip yang lebih premium sahaja. Yang terbaru adalah Realme Watch 2 Pro.

Saya telah menggunakan jam ini untuk beberapa hari, saya rasakan sasaran Realme adalah untuk para peminat sahaja – agar boleh fokus dalam satu ekosistem. Apakah yang Pro? Adakah ianya berbaloi? Ini adalah pendapat awal saya mengenai Realme Watch 2 Pro.


Spesifikasi Dan Rekaan

Realme Watch 2 Pro
Skrin1.75” LCD, Skrin Berwarna
Pemproses–
Memori–
Sistem OperasiTersendiri
PerlindunganIP68
Bateri14 Hari
SensorPengimbas Nadi, Sensor SpO2, Dwi-GPS Kejituan Tinggi
Lain-Lain90 Mod Sukan
PengecasanDermaga Khas
Bahan BinaanPlastik

Di pasaran sudah ada banyak jam tangan pintar asas, di mana yang mempopularkannya adalah Amazfit melalui Bip Watch. Ia murah, kecil dan padat dengan ciri dan fungsi menarik. Realme Watch 2 Pro ini dilihat masih lagi seakan penjejak kesihatan dalam bentuk jam tangan sahaja, di mana tidak banyak ciri pintar yang boleh bersaing dengan Xiaomi. Malah, Mi Smart band 6 mempunyai kemampuan yang jauh lebih baik daripada jam ini.

Menjadikan jam kali ini ‘pro’ adalah, saiz skri yang lebih besar dan binaan yang kelihatan premium. Skrin adalah 1.75-inci, tetapi sayang sekali ia di kelilingi dengan bezel yang sangat tebal. Secara tidak langsung memberikan pengalaman penggunaan skrin tidak memuaskan. Kerangka jam ini adalah plastik, tetapi dilindungi dengan kemasan berkilat untuk kelihatan lebih premium, elegan dan ada gaya. Rekaan hibrid yang sesuai untuk tujuan sukan dan juga kerja profesional.

Terdapat satu butang terbina, skrin adalah kawalan sesentuh, enjin getaran disertakan, pelbagai sensor seperti pengimbas nadi, SpO2, GPS dan banyak lagi. Memandangkan ia masih dikira sebagai jam tangan pintar asas, ciri untuk melihat notifikasi, mengawal pengatup kamera, mengawal media atau penggera masih disertakan.

Mod sukan yang Realme watarkan pada jam ini terda[at 90 yang berbeza. Dalam percubaan saya, saya tidak dapat mengakses kesemuanya dan hanya sebilangan sahaja. Antara mod yang ditawarkan adalah, berlari, berbasikal, badminton, yoga, mendaki, lompat tali, senaman lasak, golf, karate, tunggang kuda, bola sepak, tarian jalanan, bola jaring, hula hoop, tarian, Tai Chi, dan lain-lain lagi.

Pengalaman Penggunaan

Jam ini apabila awal digunakan terasa menarik dan memberikan pandangan yang positif. Tetapi selepas beberapa hari penggunaan, jelas yang jam ini jauh ketinggalan dengan jenama seperti Mi Watch atau Mi Watch Lite. Skrin besar benar membantu untuk melihat data, muka jam, kawalan notifikasi dan sebagainya. Ia juga cukup terang dan cantik – tetapi sayang sekali panel LCD digunakan. Menjadikan warna tidak begitu menyerlah berbanding kebanyakan jam lain dengan panel OLED.

Sistem operasi adalah yang tersendiri. Realme dengan usaha kera cuba menawarkan pengalaman penggunaan tersendiri agar berbeza dengan pesaing. Ada sebab kenapa Huawei Watch, Wear OS, Mi Watch aytau Amazfit menggunakan susunan antaramuka yang lebih kurang – orang kata if it ain’t broke don’t fix it.

Dengan menggunakan talam tetapan yang perlu ditatal daripada sisi, talam notifikasi daripada atas, talam aplikasi dari bawah dan widget pada sisi bertentangan – ia terasa janggal. Walaupun sistem operasinya pantas dan lancar, saya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri. Paling aneh adalah butang fizikal yang disertakan. Biasanya butang fizikal adalah untuk akses aplikasi secara pantas, ke skrin utama, kembali atau membuka talam notifikasi – Realme Watch 2 Pro menawarkan butang kunci skrin.

Ya, tekan butang skrin akan menjadi gelap. Tekan sekali lagi baru ia akan menyala. Apabila skrin sedang aktif, tekan sekali adalah untuk kembali. Penggunaan yang cukup aneh dan tidak masuk akal. Beralih sekali lagi pada skrin, jam ini tiada sokongan Always-On Display atau sensor untuk skrin menyala jika ada pemberitahuan notifikasi. Tetapi dengan sudut yang baik dan kedudukan yang elok – angkat tangan untuk lihat jam berfungsi dengan baik kerana skrin menyala dengan pantas. Kaedah sentuh skrin untuk aktifkan tidak begitu sensitif.

Fungsi yang ada dalam jam ini adalah terlampau asas. Kalau jam lain, saya akan mengambil masa sekitar 15 minit sehingga 30 minit untuk terokai tetapan, muka jam dan mencuba ciri serta fungsi lain – saya hanya menghabiskan masa selama sekitar lima minit sahaja pada jam ini.

Talam aplikasi menyenaraikan aplikasi untuk lihat status kecergasan dan data, imbasan nadi, imbasan SpO2, pemantauan tidur, mod sukan, penggera, cuaca, jam randik, pemasa, kawalan media, kawalan kamera, senama bernafas, mencari peranti, akses pantas Realme Link dan tetapan. Dalam tetapan pula hanya ada muka jam, tetapan skrin, notifikasi kecergasan, Do Not Disturb, bateri dan tetapan sistem yang terhad.

Setiap kali aplikasi Realme Link ditutup, ia akan memuat semula untuk kembali menyelarikan antara jam dan telefon. Ini tidak menjadi masalah kalau pantas, kerana apabila proses ini berlaku – aplikasi Realme Link tidak boleh digunakan dan proses memakan masa lebih 15 saat. Tetapan dalam aplikasi juga terhad dan tidak banyak yang boleh digodek, selain daripada pilihan muka jam yang banyak.

Realme ingin fokus kepada sokongan GPS yang sedia terbina, jadi pengguna boleh pantau aktiviti larian, berbasikal atau berjalan kaki pada peta yang terbina. Dengan dwi-GPS berkemungkinan besar tiada masalah untuk menerima data yang jitu.

Binaan yang ringan, tali jam yang lembut serta rekaan melengkung memberikan pengalaman memakai yang selesa. Saya gemarkan tali jam yang disediakan kerana cukup ketat dan tidak longgar.

Kesimpulan

Realme Watch 2 Pro adalah untuk pengguna setia Realme sahaja. Ia tidak sesuai kepada khalayak ramai kerana pelbagai alternatif yang jauh lebih berbaloi, berkuasa dan lebih hebat. Bagi mereka yang ingin menjadikan Realme sebagai ekosistem – ini adalah jam yang terbaik. Harga jualan pula adalah RM299 sahaja, yang mana tidak dinafikan ini adalah harga yang berbaloi dan tepat dalam kelasnya. Jika saiz besar sebegini misalnya Amazfit GTR 2, Mi Watch – harga semua mencecah RM400-RM500. Malah ada juga yang mencapai RM600.

Rekaan yang kelihatan premium, mewah – tetapi masih ringan dan selesa akan memuaskan hati orang ramai. Kepada pengguna Realme yang baru ingin menggunakan jam tangan pintar asas yang kelihatan mewah, jam ini tidak dinafikan adalah untuk anda. Dengan tidak menawarkan banyak tetapan atau ciri lain yang mengelirukan, ia cukup sesuai kepada mereka yang inginkan satu jam Pro yang boleh digunakan secara kasual.

Realme Watch 2 Pro ini adalah jam ‘pro’ yang asas, di mana nilai profesional lebih kepada gaya berbanding fungsi.


Pro

  • Prestasi yang lancar
  • Walaupun asas masih kelihatan premium
  • Rinngan dan mudah digunakan

Kontra

  • Sistem operasi yang sedikit janggal
  • Getaran tidak begitu kuat

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami