Samsung Galaxy S21 Edisi Sukan Olimpik Diperlihatkan – Khas Untuk Penduduk Di Jepun

Diterbitkan pada Mei 20, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Acara Sukan Olimpik 2020 yang sepatutnya diadakan pada musim panas tahun lepas telah ditunda ke tahun ini, dan walaupun begitu, keadaan wabak COVID-19 yang masih belum memperlihatkan penurunan kadar kes harian nampaknya menyukarkan keadaan untuk kerajaan Jepun mengadakannya.

Walaupun begitu, Samsung, sebagai salah satu penaja rasmi acara sukan antarabangsa tersebut nampaknya telah memperlihatkan edisi khas untuk peranti Samsung Galaxy S21 mereka, yang hadir dalam warna biru dengan kemasan emas di bahagian sisi dan juga kamera belakang.

Samsung Galaxy S21 edisi Sukan Olimpik ini nampaknya ditawarkan melalui syarikat telekomunikasi Docomo sahaja, dan ia dilihat mempunyai bukan sahaja logo syarikat tersebut di belakang, tetapi juga logo Sukan Olimpik, menandakan bahawa ia adalah edisi istimewa acara sukan tersebut.

Dari segi spesifikasi, Samsung Galaxy S21 edisi Sukan Olimpik ini akan hadir dengan spesifikasi sama seperti Samsung Galaxy S21 versi Qualcomm Snapdragon, dimana ia dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 888, memori sebanyak 128GB dan menggunakan paparan Dynamic AMOLED bersaiz 6.2 inci.

Pada masa artikel ini ditulis, Docomo telahpun mula membuka pra-tempah pada laman web mereka, dan ia nampaknya boleh ditempah orang ramai dalam masa terdekat ini. Ia dijangka apabila acara Olimpik berlangsung kelak, ia akan ditawarkan secara percuma kepada semua atlit yang menyertainya.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami