Cari @ Amanz

Adakah alkohol membahayakan kesihatan? Ini ialah persoalan yang jawapannya ialah tentu sekali sekiranya diminum dalam kuantiti yang banyak. Tetapi terdapat kajian sebelum ini yang mengatakan meminum jumlah wain yang sedikit boleh mengurangkan risiko serangan jantung. Kajian terkini dari penyelidik di University of Oxford kini mendakwa alkohol tidak selamat diminum dalam apa jua kuantiti.

ARM Otak

Kajian melibatkan data dari 25,378 peserta dari pelbagai latar belakang usia, jantina dan tahap pendidikan. ia mendapati bahawa jirim kelabu otak berkurangan sebanyak 0.8% kerana pengambilan alkohol. Walaupun peratusannya kecil, ia sehingga empat kali lebih berbanding kesan pengambilan bahan tembakau.

Integriti jirim putih otak juga dikesan mengalami kesan negatif akibat pengambilan alkohol. Sementara itu tekanan darah dan BMI juga lebih tinggi pada mereka yang mengambil alkohol walaupun dalam jumlah yang sederhana.

Penyelidik berkata kajian terdahulu yang mengatakan pengambilan wain tidak mendatangkan kesan negatif kepada otak berbanding minuman beralkohol yang lain adalah kerana peminumnya terdiri dari golongan yang mempunyai latar belakang pendidikan yang lebih tinggi. Maka kajian mungkin tidak tepat kerana pengambil minum keras seperti bir biasanya dari golongan berpendidikan lebih rendah sekaligus memberikan impak bahawa ia lebih berbahaya kepada otak berbanding wain.

Kajian telahpun diterbitkan tetapi masih belum menjalani proses kajian semula setara.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd