Cari @ Amanz

Ford telah mengeluarkan trak di bawah siri F sejak 1948. Di bawah siri ini F-150 adalah antara model yang paling popular kerana dilihat sebagai jawapan Amerika Syarikat kepada Toyoto Hilux yang mempunyai reputasi legenda tidak boleh dibunuh. Selepas menjalani 13-iterasi sejak 1991, akhirnya Ford menawarkan F-150 dalam versi elektrik BEV sepenuhnya.

Ford F-150 Lightning dilancarkan awal pagi tadi dan ia mengekalkan rekaan luaran yang sama seperti model berkuasa diesel sedia ada. Tetapi jangan tertipu dengan rekaan luaran ini kerana ia sebenarnya dilengkapi dua motor elektrik dengan kuasa 563 kuasa kuda dan tork 775 lbs-kaki yang menjadikannya lebih berkuasa berbanding F-150 Raptor yang menggunakan enjin diesel turbo.

Kerana ia masih lagi sebuah F-150 yang digunakan untuk bekerja, trak boleh membawa kargo sehingga 907 kg dan menarik beban sehingga 4,535 kg. Dengan sekali caj kenderaan boleh beroperasi sehingga 483 kilometer bergantung kepada kapasiti bateri model yang dipilih. Bercakap mengenai bateri, terdapat plat besi yang melindungi pek bateri dan juga motor elektrik untuk aktiviti lasak.

Bahagian kokpit dilengkapi skrin 15″ untuk pelbagai sistem infohibur dan kawalan kenderaan manakala sebuah skrin 12″ pula digunakan untuk paparan maklumat pemanduan. Terdapat empat palam kuasa elektrik dan dua port USB di dalam ruang but hadapan berkapasiti 400 liter.

Dengan palam kuasa ini, F-150 Lightning boleh membekalkan keperluan kuasa ketika aktiviti berkhemah di luar bandar. Pada model lebih premium, ia boleh digunakan sebagai sumber kuasa rumah sehingga tiga hari sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik. Bateri boleh dicas semula dalam masa lapan jam menerusi pengecas 80A.

Di Amerika Syarikat Ford F-150 Lightning akan ditawarkan pada harga $39,974 (~RM166,000) untuk model asas dan $52,974 (~RM219,000) untuk model F-150 Lightning XLT yang lebih premium bermula 2022.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd