Intel Generasi ke-11 Dan GeForce RTX3060 Kini Boleh Didapati Dengan Komputer Riba Terbaru MSI

Diterbitkan pada Mei 25, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apabila bercakap mengenai komputer riba gaming, perkara pertama yang akan bermain di fikiran adalah kehebatan spesifikasinya, dan yang paling penting untuk diambil kira adalah sokongan kad grafik dan juga pemprosesan yang digunakan. Sokongan audio juga memainkan peranan untuk mendapatkan pengalaman yang lebih mendalam ketika bermain permainan video. Dari segi rekaan pula tentunya akan memberikan tanggapan pertama yang menarik minat para pemain samaada dari rekaan luaran, mahupun dalaman seperti fungsi papan kekunci dan sebagainya. Jadi, ada berita baik untuk para pemain permainan video, MSI baru-baru ini telah membawa masuk siri MSI Pulse ke pasaran Malaysia, yang dikenali sebagai MSI Pulse GL76 Dan MSI Pulse GL66.

Kedua-dua komputer riba ini membawakan rekaan dan spesifikasi yang hampir sama. Apa yang membezakannya adalah saiz skrin dan berat sahaja. Kerangka luarannya membawakan identiti seakan-akan perisai logam dengan sisi seperti hexagon yang berwarna kelabu titanium dan mempunyai garisan-garisan yang memberikan kesan seperti futuristik. Bagi rekaan dalamannya pula, lampu RGB pada papan kekunci komputer riba ini boleh dilaraskan mengikut kehendak anda dengan bantuan Mystic Light. Saiz skrin bagi MSI Pulse GL76 adalah berukuran 17.3 inci dengan berat 2.3kg, manakala bagi model Pulse GL66, saiz skrin yang ditawarkan adalah 15.6 inci dengan berat keseluruhan 2.1kg. Pilihan ini terletak ditangan anda bergantung kepada kehendak dan bajet anda sendiri. Sekiranya anda lebih sukakan skrin yang besar untuk mendapatkan pengalaman permainan yang lebih mengasyikkan, model Pulse GL76 adalah untuk anda. Jika saiz skrin tidak menjadi masalah kepada anda, model Pulse GL66 juga sudah mencukupi.

Bercakap mengenai spesifikasinya pula, kedua-dua komputer riba ini menggunakan kad grafik daripada siri NVIDIA GeForce RTX 30 yang dikatakan mampu menawarkan spesifikasi untuk permainan video yang lebih berkuasa sehingga 130% lebih baik daripada siri sebelumnya. Anda juga diberi pilihan untuk memilih jenis kad grafik mengikut kehendak anda, samaada menggunakan NVIDIA GeForce RTX 3050 dengan 4GB GDDR6, NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti 4GB GDDR6 atau NVIDIA GeForce RTX 3060 6GB GDDR6. Cip pemprosesannya pula dikuasakan dengan Intel Core i7 generasi ke-11 dan prestasinya dikatakan mampu beroperasi 40% lebih hebat daripada generasi sebelumnya. Dengan pemprosesan 8 teras yang turut menyokong frekuensi turbo sehingga 4.6GHz, ia tentunya dapat memberikan pengalaman permainan, produktiviti dan multi-tugasan yang lebih optimum.

Skrinnya juga dapat beroperasi dengan lebih lancar melalui bantuan kadar segar semula setinggi 165Hz. Dengan sokongan paparan beresolusi 2560×1440, tentunya ia dapat memberikan pengalaman tontonan dan permainan yang lebih memuaskan. Bagi anda yang gemar untuk melaraskan fungsi-fungsi pada komputer riba anda, platform MSI Center akan mengoptimasikan prestasi permainan anda. Melaluinya, anda boleh memantau, melaraskan, dan mengoptimasikan fungsi-fungsi yang ada pada komputer riba MSI anda dibawah satu sistem yang sama. Antara fungsi yang disokong adalah Crosshair yang membolehkan anda membuat sasaran yang lebih tepat, Game Highlights untuk merakamkan permainan anda, Gaming Mode yang mengoptimasikan permainan anda dengan hanya satu klik dan banyak lagi.

Apabila bermain permainan video dalam satu tempoh masa yang lama, tentunya komputer riba kita akan mengeluarkan haba. Melalui sistem penyejukkan Cooler Boost 5 yang ditawarkan pada komputer riba MSI terbaru ini, masalah pemanasan dapat dikurangkan. Hal ini kerana ia dilengkapi dengan 2 kipas dan 6 paip pengudaraan untuk menghasilkan pengaliran haba yang baik untuk model 11UDK dan 11UCK. Model 11UEK pula menggunakan 2 kipas dan 8 paip pengudaraan kerana spesifikasinya yang tertera lebih tinggi dan memerlukan penyejukkan yang lagi optimum. Ini membantu untuk menjaga prestasi CPU dan GPU komputer riba ini. Manakala dari segi penawaran memori pula, kedua dua komputer riba ini disokong oleh memori DDR4-3200 dan dipadankan dengan storan sehingga 1TB PCIe NVme SSD dimana ia dikatakan mampu untuk beroperasi lebih baik daripada edisi yang sebelumnya. Untuk anda yang mengambil spesifikasi yang paling tinggi (11UEK), terdapat satu slot NVME tambahan untuk anda menambah storan berprestasi tinggi jika anda mahu pada masa hadapan.

Sambungan internet yang baik juga sangat penting untuk kekalkan momentum permainan kita. Kedua-dua komputer riba ini dilengkapi dengan teknologi Intel Wi-Fi 6 802.11ax yang terkini. Sokongan ini dikatakan mampu beroperasi 3 kali lebih laju sehingga 2.4 Gbps dan memberikan masa pendam 75% lebih rendah jika dibandingkan dengan Wi-Fi 6 yang dahulu. Melalui sokongan ini, anda boleh menstrim permainan tanpa sebarang masalah lengah masa dan seterusnya tidak mengganggu prestasi permainan anda.

Jika anda seorang pemain permainan video yang tegar, komputer riba ini semestinya sesuai untuk anda. Ia menawarkan rekaan yang futuristik dan membawa identiti seorang gamer, serta spesifikasinya yang berkuasa yang anda idam-idamkan. Bagi anda yang berminat, anda boleh membuat pra-tempah untuk model MSI Pulse GL76 dengan kad grafik GeForce RTX 3060 6GB GDDR6 pada harga RM6,999. Manakala bagi anda yang inginkan versi yang lebih ringan pula, MSI Pulse GL66 adalah pilihan yang baik dimana ia boleh didapati pada harga RM5,699 dengan kad grafik GeForce RTX 3050 Ti 4G GDDR6. Bagi setiap pembelian, anda akan menerima Windows 10 Home, beg galas Stealth Trooper, jaminan selama 2 tahun dan papan kekunci RGB Backlight. Jadi dapatkannya sekarang sementara stok masih ada.

MSI Pulse GL76

MSI Pulse GL66

Penafian: Advertorial daripada MSI Malaysia

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami