Cari @ Amanz

Meskipun namanya mungkin kian tenggelam dalam pasaran global, tetapi ini tidak bermakna Meizu tidak mempunyai sebarang perancangan terkini buat rangkaian produk mereka. Terkini, mereka nampaknya dalam persediaan untuk pengenalan peranti boleh-pakai yang mungkin dikenali sebagai Meizu Watch.

Rekaan fizikal telah diperlihat secara rasmi menerusi poster pelancaran di Weibo. Melaluinya, ia mempunyai rekaan seakan sebuah Apple Watch dengan muka jam berbentuk empat segi. Hantaran berkenaan turut menunjukkan Meizu Smartwatch bakal hadir dalam kemasan serba hitam bersama tali jam yang dibuat daripada bahan berasaskan silikon. Tidak terhenti di situ sahaja, ia juga dilihat menyokong paparan panel bewarna bersama sokongan sesentuh.

Tiada sebarang maklumat lanjut berkaitan spesifikasi utama yang didedahkan menerusi poster dikongsi. Namun, spekulasi awal mengatakan ia akan menawarkan fungsi penjejak kesihatan yang pelbagai, perkhidmatan pembayaran mudah alih, sokongan e-SIM dan kebolehan untuk membuat panggilan telefon. Seperti biasa, penawaran lebih lanjut bakal terjawab pada penghujung bulan kelak – iaitu 31 Mei 2021.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd