Cari @ Amanz

Selain hadir dengan aksesori audio baharu menerusi pengenalan Huawei FreeBuds 4, jenama ini turut mengemaskini barisan rangkaian komputer riba di bawah siri Matebook. Melaluinya, Huawei MateBook 16 telah diumumkan secara rasmi di China, baru-baru ini. Huawei Matebook 16 hadir dalam dua variasi berbeza dengan pilihan CPU AMD Ryzen 5000 – iaitu AMD Ryzen 7 5800H dan AMD Ryzen 5 5600H. Lain-lain spesifikasi pula adalah sama sahaja.

Kedua-dua variasi komputer riba ini dilengkapi penggunaan skrin bersaiz 16-inci IPS dengan resolusi 2520 x 1680 piksel. Paparan ini turut menyokong ciri tambahan seperti sokongan untuk gamut warna sRGB 100% dengan kecerahan 300nits, nisbah skrin-ke-badan mencecah 90% dan sudut pandang mencecah 178 darjah.

Seterusnya, penawaran memori juga sama menerusi sokongan 16 GB DDR4 RAM dan storan 512 GB NVMe PCIe SSD. Tidak habis disitu, GPU AMD Radeon turut digunakan pada kedua-dua variasi. Untuk pilihan I/O, ia dilengkapi 1 x USB Type-C, 2 X USB 3.2 Gen 1, 1 x HDMI dan bicu audio 3.5mm.

Spesifikasi lain termasuklah – Windows 10 Home Edition, sokongan Bluetooth 5.1, bateri sebesar 84Wh, pengimbas cap jari pada butang kuasa dan lain-lain. Di China, Huawei MateBook 16 dijual pada harga RMB 6,799 (~RM4,374) (AMD Ryzen 7 5800H). Sementara itu, Huawei MateBook 16 dengan AMD Ryzen 5 5600H pula berharga RMB6299 (~RM4,053).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd