Sekian lama mengacah mengenai kehadirannya, kini Nubia Z30 Pro dilancarkan secara rasmi di China, sebentar tadi. Jika dilihat secara kasar, ia mempunyai spesifikasi dalaman yang menyerupai ZTE Axon 30 Ultra. Cumanya, ia dibekalkan bateri besar dan pengecasan yang lebih pantas. Bukan itu sahaja, penawaran memori juga lebih rendah.
Untuk spesifikasi khusus, Nubia Z30 Pro membawakan skrin bersaiz 6.6-inci OLED FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Ia turut dipadankan dengan cip Snapdragon 888, memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman sehingga 256GB dan bateri 4,600mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W.
Seperti Axon ZTE 30 Ultra, ia juga menggunakan sistem kuad-kamera bersama tri-sensor 64MP dengan OIS dan 8-Megapixel (OIS) jenis periskop yang turut membenarkan zum digital sehingga 50x. Gambar swafoto pula boleh diambil menggunakan sensor sebesar 16-Megapixel.
Spesifikasi lain termasuklah – sokongan Bluetooth 5.1, rangkaian 5G terbina, WiFi 6E dan lain-lain. Nubia Z30 Pro dijual di China pada harga bermula RMB4999 (~RM3218) untuk model asas.