#HP

Siri Komputer Riba Gaming HP Omen 16 Dan Omen 17 Diumumkan Dengan Komponen Terbaru AMD, Intel Dan NVIDIA

Diterbitkan pada Mei 21, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dengan pelancaran siri cip pemprosesan Intel generasi ke-11 Tiger Lake-H, pelbagai jenama komputer riba telah mula memperlihatkan komputer-komputer riba yang dikemaskini dengan komponen tersebut, dan terkini ialah HP melalui siri komputer riba gaming HP Omen mereka.

Siri komputer riba HP Omen terbaru ini hadir dalam dua pilihan model, termasuklah HP Gaming Omen 16 dan HP Gaming Omen 17 yang mana nombor modelnya memperlihatkan saiz paparan yang ditawarkan, iaitu 16 dan 17 inci. Kedua-dua paparan ini hadir dengan resolusi sehingga QHD dan kadar segar semula 165Hz dan boleh memperlihatkan gamut warna sRGB 100 peratus sepenuhnya.

Dari segi spesifikasi, Gaming Omen 16 dan Gaming Omen 17 mempunyai penawaran komponen yang sedikit berbeza. Omen 16 dilengkapi pilihan CPU sehingga Intel Core i7-11800H dan AMD Ryzen 9 5900HXdengan memori sehingga 32GB dan storan SSD NVMe sebesar 1TB.

Apa yang menarik disini ialah penawaran kad grafik pada model Gaming Omen 16. Anda boleh memilih untuk mendapatkan model yang dikuasakan GPU NVIDIA GeForce RTX 3000 sehingga model GeForce RTX 3070, ataupun kad grafik AMD RDNA2 yang belum diperkenalkan lagi.

Untuk model Gaming Omen 17 pula, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan penawaran CPU sehingga Intel Core i9-11900H, memori DDR4 32GB dan pilihan storan SSD NVMe sebesar 2TB dalam konfigurasi RAID0.

Tidak seperti Omen 16, Omen 17 hanya hadir dengan penawaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000, tetapi pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model yang dikuasakan NVIDIA GeForce RTX 3080 yang sangat berkuasa.

Selain daripada hadir dengan sokongan Thunderbolt 4, WiFi6 dan sebagainya melalui cipset Tiger Lake-H, kedua-dua komputer riba ini juga hadir dengan sistem penyejukan baru yang dikatakan bukan sahaja lebih nipis, tetapi juga mempunyai lebih banyak bilah kipas yang digunakan untuk menyejukkan komponen-komponen didalam komputer riba ini.

Menurut HP, siri komputer riba Gaming Omen 16 dan Omen 17 ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran terpilih bermula bulan Jun kelak pada harga permulaan $1049 dan $1399. Ketibaan di pasaran Malaysia masih tidak diketahui lagi buat masa ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami