Cari @ Amanz

Robot akan mengambil alih pekerjaan manusia. Ia telahpun berlaku di Jepun dengan ujian insan OKU bekerja dari rumah mengawal robot yang menjadi pengganti diri di restoran dan kedai serbaneka. Di rantau Asia Tenggara, Grab telah memulakan ujian menggunakan GrabRobot – robot untuk mempercepatkan proses penghantaran makanan di dalam pusat membeli belah.

GrabRobot akan digunakan di Paya Lebar Quarter Mall dimana ia akan mengambil makanan dari restoran sebelum menghantarkannya ke ruang menanti rakan penghantar. Dengan ini rakan penghantar hanya perlu menunggu di kawasan khas di pusat membeli belah dan ini dijangka dapat menjimatkan masa sehingga 15 minit untuk setiap penghantaran makanan yang dipesan oleh pelanggan Grab.

Untuk menjayakan program rintis ini, Grab bekerjasama dengan Techmetics Robotics yang mempunyai kepakaran membina robot dengan kecerdasan pintar serta LiDAR bagi mengelakkan kemalangan. Untuk keselamatan, ruang simpanan robot akan dikunci dengan kombinasi hanya diketahui oleh rakan penghantar. Setiap hari robot dijangka boleh melakukan 250 penghantaran dari restoran ke kawasan menunggu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd