Redmi sebelum ini sedia hadir dengan penawaran beberapa model berbeza di bawah siri Redmi Note 10. Penawarannya juga berbeza mengikut pasaran – misalnya seperti di Malaysia mereka hadir dengan dua model iaitu Redmi Note 10 dan Redmi Note 10 Pro yang boleh dimiliki pada harga mampu milik.
Dalam perkembangan terkini, Xiaomi dilaporkan bakal mengadakan sebuah acara pelancaran peranti di China pada minggu hadapan. Melaluinya, jenama ini bakal hadir dengan penawaran siri Redmi Note 10 untuk pasaran China tetapi masih belum dapat dipastikan berapa bilangan model peranti yang bakal dilancarkan kelak.
Namun begitu, salah satu daripadanya dikatakan telah tertiris. Model yang dimaksudkan adalah Redmi Note 10 Ultra dan beberapa poster acah mengenainya telah mula diperlihatkan di laman Weibo. Merujuk imej dikongsi, ia mempelihatkan peranti ini menampilkan reka bentuk lebih segar dan serba baru.
Mungkin secara kasarnya, kemasan pada modul kamera kelihatan menyerupai sejumlah model siri Redmi Note 10 sedia ada. Tetapi, jika diteliti dengan baik ia sebenarnya berbeza sama sekali. Baik dari segi susunan lensa mahupun kemasan padanya.
Dalam perkembangan berbeza, harga untuk Redmi Note 10 Ultra dikhabar telah tertiris. Di mana, ia mempelihatkan peranti pintar ini mungkin ditawarkan pada harga bermula RMB1799 (~RM1,158) untuk varian 6GB RAM serta 128GB. Ia juga telah disahkan hadir dengan penawaran storan berasaskan UFS 3.1 yang dioptimumkan sepenuhnya.
Mengikut spekulasi awal, Redmi Note 10 Ultra dipercayai menggunakan skrin berukuran 6.53-inci AMOLED, cip MediaTek Dimensity 1100, memori sehingga 8GB, storan dalaman sehingga 128 UFS 3.1 dan bateri 5000. Untuk penawaran lebih lanjut, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya pada 26 Mei 2021.